KENYATAAN MEDIA
1. Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengambil perhatian terhadap kenyataan YB Dato’ Dr Mah Hang Soon merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia tentang hasrat KPM untuk meneruskan Program Dwibahasa atau Dual Languange Program.
2. iGuru sebagai sebuah NGO Pendidikan pada dasarnya bukanlah anti Bahasa Inggeris tetapi berpandangan bahawa pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa ibunda adalah terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.
3. iGuru mencadangkan agar pihak KPM menubuhkan satu pasukan kajian khas untuk melihat sejuah mana keberkesanan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik menggunakan Bahasa Inggeris supaya kegagalan PPSMI tidak berulang kembali.
4. iGuru melihat usaha yang konkrit dan berterusan dari pihak KPM ialah mencari formula mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan anak-anak sekolah luar bandar dan pendalaman bagi memastikan mereka tidak tercicir dengan pendidikan yang menyiapkan mereka kepada dunia global.
5. Kegagalan program PPSMI 2003-2009 (-2012) telah terbukti dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA dimana prestasi murid Malaysia dalam TIMSS berada di atas purata Dunia pada 1999 dan 2003, tetapi ia telah menjunam hampir 100 mata ke bawah purata Dunia pada 2007, 2011 dan 2015. Peningkatan prestasi pada 2015 naik sedikit kerana PPSMI sudah dimansuhkan pada 2012.
6. Manakala prestasi PISA pada 2009, 2012, 2015 dan 2018 masih di bawah purata Dunia walaupun Malaysia memilih murid-murid DLP BI untuk menduduki ujian PISA. Prestasi murid-murid PPSMI dan DLP BI dalam BI dan sains dan matematik tidak meningkat tetapi menjunam di bawah purata Dunia.
7. IGuru menggesa piha KPM mengambil kira kegagalan PPSMI dan mencari langkah terbaik untuk memastikan murid- murid menguasai Bahasa Inggeris dengan pendekatan yang lebih berkesan dan produktif serta pandangan dari pakar-pakar bahasa dan bidang sains dan matematik.
8. iGuru melihat usaha melahirkan murid-murid yang memiliki AI (kecerdasan buatan) adalah penting di era digital ini dengan menanamkan minat kepada aliran STEM dan TVET dengan pengajaran yang mudah difahami melalui bahasa ibunda tanpa mengenepikan aspek pemantapan Bahasa Inggeris.
9. iGuru yakin sekiranya subjek sains dan matematik dipelajari di dalam Bahasa Melayu, prestasi murid Malaysia akan meningkat di atas purata dunia dengan cemerlang dan berada di kedudukan terbaik.
Mohd Azizee bin Hasan
Presiden
Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia ( iGuru)
6 Ogos 2020