BANGI, 1 Julai – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) seharusnya lebih berhati-hati tidak menyiarkan klip video seorang tokoh Syiah di laman sosial instagram IKIM FM dua hari lalu.
Menurut Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA, Dr. Siti Sarah Amran, tindakan agensi kerajaan ini akan menimbulkan kekeliruan besar kepada masyarakat kerana bertentangan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1996 yang mengisytiharkan aliran Syiah sebagai sesat.
“Bila agensi rasmi seperti IKIM memuat naik tanpa konteks, ia memberi isyarat yang sangat keliru, adakah sekarang kita terima tokoh Syiah?”, katanya dalam satu kenyataan.
Sebuah video pendek yang dimuat naik di laman sosial Instagram IKIM FM menunjukkan seorang tokoh yang secara jelas dikenali sebagai pemimpin utama Syiah di peringkat global, berbicara dengan seorang kanak-kanak yang berkata: “Doakan aku jadi syahid”.
Menurut Dr. Siti Sarah lagi, meskipun mesej itu kelihatan umum dan positif tetapi dibuat tanpa sebarang penjelasan atau penafian boleh menimbulkan kekeliruan besar dalam masyarakat.
“Kita boleh mengangkat nilai perjuangan, tetapi bukan dengan memberi pentas kepada individu yang membawa fahaman yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Dr. Siti Sarah Amran menyeru kepada IKIM atau mana-mana institusi untuk menyemak semula kandungan yang berpotensi mengelirukan dan beri penjelasan atau penafian yang jelas jika melibatkan tokoh yang mempunyai kefahaman bercanggah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Kepada masyarakat awam juga jangan mudah terpesona dengan wajah dan kata-kata, kenali siapa yang berkata, bukan hanya apa yang dikata,” ujarnya.
Dr. Siti Sarah juga menegaskan akidah perlu dipelihara dan bukan sesuatu yang boleh dikompromi.
Menurut laman web rasmi, IKIM dirasmikan pada 3 Julai 1992 yang ditubukan untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya demi menjaga kesucian ajaran Islam yang sebenar tanpa menyentuh perkara-perkara retorik atau menyimpang dari jalan yang ditetapkan.