Silih berganti pemerintah, Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak segan silu dan berputus asa untuk mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Walaupun, pelbagai pertubuhan dan golongan professional memberikan pelbagai sebab untuk membantah pengiktirafan UEC tetapi mereka tetap tegar.
Baru-baru ini, Dong Zong melakukan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang secara jelas menyatakan hasrat kepada kerajaan untuk mengiktiraf UEC. Manakala, Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui pada Dewan Rakyat Selasa lalu telah memberi cadangan kepada sidang dewan untuk mengiktiraf UEC bagi membolehkan lepasan ini memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui sistem direct intake tanpa perlu melalui UPU.
Sebagai rakyat Malaysia kita harus meneliti sebab UEC tidak diiktiraf di Malaysia selagi mana, Dong Zong tidak mahu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
Apa yang kita boleh lihat UEC merendahkan martabat Bahasa Melayu kerana mereka menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, jika diiktiraf ia umpama satu penderhakaan dan penghinaan kepada rakyat.
Pengiktirafan UEC juga adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Dasar ini harus diyakini rakyat dalam memajukan negara bukannya diendahkan.
Dari segi silibus UEC mengambil sukatan pelajarannya dari Taiwan, tidak releven untuk negara mempunyai dua sistem pendidikan bahkan tidak adil kepada rakyat Malaysia yang setia mengikuti sistem pendidikan negara sedia ada.
Kementerian Pendidikan Malaysia juga bertegas tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana Dong Zong tidak mahu mematuhi kehendak kerajaan untuk selaraskan silibus mata pelajaran asas bernegara terutama Sejarah dan Bahasa Melayu sama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Laras UEC bagi mata Pelajaran ini juga terlalu rendah.
Justeru itu, UEC hanya akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan kaum serta mencabar kedaulatan negara. Ini sudah pasti membuatkan keharmonian negara terjejas, jurang perbezaan di kalangan kaum akan semakin besar kerana perbezaan silibus dan bahasa. Juga satu kerugian kepada kaum Cina yang telah mengikuti sistem pendidikan sedia ada.
Ir. Hj. Mohd Khoushaini Mohd Naim
Penasihat Hal Ehwal Strategik ISMA