Tragedi kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights adalah isu negara yang merentas sempadan politik. Rakyat berhak untuk tahu punca dan hasil siasatan tersebut secara tepat dan telus.
Apa sahaja insiden yang menjadi kepentingan umum rakyat Malaysia dan negara, pihak kerajaan mesti bertanggungjawab menyampaikan perkembangan siasatan dan punca insiden tersebut kepada rakyat.
Negara pernah ada pengalaman mengurus penyampaian maklumat berkaitan insiden-insiden besar seperti kehilangan kapal terbang MH370, MH17 dan lain-lain.
Sidang media yang lebih tersusun mesti diselaraskan segera sebagai bukti ketelusan, terutama dalam insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025, yang jelas melibatkan kepentingan negara.
Insiden yang melibatkan lebih 300 orang yang cedera, ratusan rumah rosak, dan 1,254 individu terjejas; krisis ini bukan sahaja isu tempatan, tetapi ia juga melibatkan keselamatan infrastruktur tenaga, kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan dan swasta, serta keupayaan kerajaan mengurus bencana yang boleh memberi kesan ekonomi dan sosial jangka panjang.
Bagi aspek kepentingan negara, insiden ini juga melibatkan aset strategik Petronas, sebuah syarikat minyak dan gas utama negara, yang menyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kebocoran paip gas di kawasan padat penduduk seperti Putra Heights menyerlahkan risiko keselamatan dalam rangkaian bekalan tenaga, yang jika tidak ditangani dengan telus, boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan rakan perdagangan antarabangsa.
Tambahan pula, penyiasatan yang masih mencari punca; dengan aktiviti pengorekan tanah sebagai kemungkinan, memerlukan komunikasi yang jelas untuk elak spekulasi yang boleh merosakkan reputasi institusi seperti Petronas atau kontraktor terlibat.
Sidang media yang tersusun dan kerap bukan sahaja sekadar saluran maklumat, tetapi juga medium untuk menunjukkan kerajaan bertanggungjawab dan proaktif.
Rakyat berhak untuk tahu hasil siasatan insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights kerana ia melibatkan kepentingan awam dan negara secara langsung. Kesan insiden ini bukan kecil kerana melibatkan keselamatan nyawa, harta benda, dan kepercayaan terhadap infrastruktur tenaga yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia.
Kepentingan awam terletak pada hak rakyat untuk faham faktor sebenar insiden ini, sama ada akibat pencerobohan pengorekan tanah berdekatan paip, kelalaian kontraktor, atau kelemahan sistem pentadbiran dan bagaimana insiden ini boleh dicegah pada masa hadapan?
Rakyat bukan sahaja mahu tahu punca, tetapi juga langkah segera: adakah paip gas di kawasan lain di seluruh negara selamat? Apa jaminan yang diberi?
Tanggungjawab kerajaan bukan setakat memberi maklumat, tapi mesti tunjukkan komitmen terhadap keadilan dan keselamatan kepada mereka yang terlibat.
Rakyat bukan penonton, mereka adalah pihak berkepentingan yang layak dapat jawapan, bukan alasan.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA