Institusi Keluarga adalah Mangsa Fahaman Feminisme Dan Liberalisme

Fahaman feminisme dan liberalisme yang menular dalam masyarakat Malaysia dilihat sangat bertentangan dengan prinsip Syariah Islam. Fahaman ini menggambarkan Syariah sebagai sistem yang berat sebelah terhadap jantina, dengan mendakwa bahawa hukum Islam sentiasa memihak kepada lelaki dan menindas wanita. Malah, menuduh Syariah mengehadkan peranan wanita hanya dalam ruang lingkup domestik seperti mengurus rumah tangga, mendidik anak-anak, melayan suami dan menjalankan tugas sebagai suri rumah seolah-olah Islam tidak memberi ruang lebih luas kepada wanita untuk menyumbang dalam masyarakat.

Idea ini sebenarnya diambil daripada pemikiran reformis Barat, Rosalie Rayner Watson (1896-1935), yang memperjuangkan pembaharuan sosial kononnya untuk “membebaskan” wanita yang berkahwin daripada tanggungjawab rumah tangga. Dalam wawasannya, wanita tidak perlu lagi melihat diri mereka terikat sebagai isteri atau ibu semata-mata, sebaliknya digalakkan membina identiti baru di luar peranan tersebut. 

Dia juga menganggap peranan wanita sebagai isteri dan ibu rumah tangga sebagai peranan tradisional. Namun, pada penghujung hayatnya, Rayner Watson menulis sebuah artikel berjudul “I Am the Mother of a Behaviorist’s Sons” pada tahun 1930, di mana dia meluahkan keraguan dan konflik dalaman tentang pendekatan tingkah laku yang diterapkannya, khususnya dalam konteks keluarga dan peranan seorang ibu.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah membatalkan fatwa sesat terhadap Sisters in Islam (SIS) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada tahun 2014, wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, mahkamah tetap mengesahkan bahawa fatwa berkenaan kesesatan fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sah dari sudut undang-undang Malaysia. Ini bermakna, mana-mana individu yang menganut atau menyebarkan fahaman tersebut tetap dianggap bertentangan dengan Syariah Islam. 

Kecelaruaan dalam institusi keluarga

Lalu, apakah “Big picture” konsep kekeluargaan yang diangkat oleh fahaman feminisme dan liberalisme?

Konsep keluarga yang dipromosikan oleh gerakan yang mengangkat fahaman  feminisme dan liberalisme ini berasaskan prinsip kesamarataan mutlak antara suami dan isteri, di mana kedua-duanya dianggap mempunyai kedudukan yang setara dalam semua aspek kehidupan rumah tangga. 

Pendekatan ini secara terang-terangan menolak prinsip qawwamah, iaitu kepimpinan lelaki dalam keluarga seperti yang digariskan dalam Syariah Islam. Penolakan terhadap struktur kepimpinan ini mengakibatkan kelompongan dalam tadbir urus keluarga, seterusnya menjadikan institusi keluarga hilang arah dan hala tuju yang jelas.

Selain menolak struktur kepemimpinan suami dalam keluarga, fahaman  feminisme dan liberalisme menerapkan konsep individualistik dalam pembahagian peranan jantina dalam rumah tangga. Mereka menolak pembahagian peranan suami sebagai pelindung dan pencari nafkah serta peranan isteri sebagai pendidik anak-anak dan pengurus rumah tangga. 

Menjadikan wanita melihat dirinya hanya berperanan ke atas dirinya sendiri, bukanlah berperanan keatas keluarga dan anak-anak.  Akibatnya, wanita mula melihat perkahwinan sebagai beban, lelaki hilang arah sebagai pelindung, dan anak-anak membesar dalam ruang yang tiada bimbingan rohani serta hidup dalam keluarga yang tidak stabil, seterusnya membawa kepada pelbagai masalah sosial yang serius.

Lebih jauh lagi, fahaman  feminisme dan liberalisme turut mengetengahkan konsep kebebasan individu sebagai asas utama, mengatasi prinsip kesatuan keluarga. Dalam pendekatan ini, wanita diberikan hak individu untuk membuat keputusan secara autonomi dalam pelbagai isu seperti perceraian, pengurusan harta, dan hak seksual. Namun, pendekatan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada pelbagai permasalahan keluarga, bahkan menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian.

Solusi yang ditawarkan dalam isu kekeluargaan hanyalah perpecahan keluarga

Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA melihat bahawa solusi yang diketengahkan oleh gerakan berfahaman  Feminisme-Liberalisme sebenarnya lebih membawa kepada perpecahan keluarga melalui konsep individualistik dan kebebasan individu yang mereka propagandakan. Sedangkan dalam Islam, keluarga dilihat sebagai sebuah entiti yang utuh, di mana setiap individu di dalamnya mempunyai peranan masing-masing dan saling memerlukan, bukannya terpisah-pisah dan berdikari secara sendiri.

Menolak konsep qawwamah dalam rumah tangga ibarat melayari kapal di lautan luas tanpa nakhoda yang memimpin arah dan mengawal haluan. Begitu juga apabila suami dan isteri meninggalkan peranan masing-masing, keluarga ibarat kapal yang kehilangan anak kapal yang menjaga keseimbangan. Lebih parah apabila konsep kebebasan individu diamalkan setiap ahli keluarga bertindak mengikut kehendak sendiri tanpa mengikut panduan atau arah tuju bersama. Seperti anak kapal yang bergerak tanpa arahan kapten, akhirnya kapal itu karam dan tenggelam. Inilah gambaran keluarga yang hilang arah akibat fahaman feminisme dan liberal yang membawa kepada perpecahan dan keruntuhan institusi keluarga. 

Kita dapat melihat dengan jelas kesan adaptasi fahaman feminisme-liberal di negara-negara Barat terhadap institusi keluarga. Di Amerika Syarikat, hampir 50% perkahwinan berakhir dengan penceraian bersamaan satu daripada dua pasangan yang berkahwin akan bercerai. 

Sementara itu, di United Kingdom, kadar perceraian dalam kalangan pasangan berusia 50 tahun ke atas menunjukkan peningkatan yang ketara. Trend ini menggambarkan betapa rapuhnya institusi keluarga apabila ia tidak dibina atas asas nilai agama dan fitrah manusia. Apabila struktur kepimpinan, tanggungjawab bersama dan peranan jantina diabaikan, maka keluarga mudah runtuh dan jauh daripada acuan syariat Islam yang seimbang dan menyeluruh.

Hari ini, Malaysia menyaksikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Sisters in Islam (SIS) dalam mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada tahun 2014. Walaupun fatwa yang menyebut SIS secara khusus dibatalkan, mahkamah tetap mengesahkan bahawa fatwa mengenai kesesatan fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA menyeru seluruh masyarakat untuk terus berwaspada terhadap fahaman feminisme dan liberalisme yang dibawa oleh mana-mana gerakan di Malaysia. Dalam menangani isu-isu kekeluargaan, BKM ISMA menegaskan bahawa penyelesaian terbaik mestilah kembali kepada penyelesaian yang dianjurkan oleh Syariah Islam yang bersifat menyeluruh, adil dan  menepati dengan fitrah manusia. Hal ini kerana pendekatan yang dibawa oleh fahaman  feminisme dan liberalisme bukan sahaja gagal menangani konflik kekeluargaan secara holistik, malah boleh menggugat kestabilan rumah tangga. Seterusnya, membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan merugikan negara.

Aisyah binti Abdullah Zaik
Unit Kajian & Penerangan Biro Keluarga & Masyarakat ISMA

Scroll to Top