ISMA Bangi memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya penganjuran program yang secara jelas mempromosikan kecelaruan jantina serta gaya hidup songsang di daerah Hulu Langat. Penganjuran dan hebahan terbuka program seperti ini bukan sahaja mencabar sensitiviti majoriti masyarakat Islam setempat, malah merupakan satu bentuk normalisasi terhadap amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, budaya timur dan prinsip kenegaraan Malaysia.
Jelas larangan dalam al-Quran dan Sunnah
Jelas, Islam telah menetapkan bahawa fitrah kejadian manusia adalah lelaki dan perempuan, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan bahawa sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah an-Najm: 45)
Allah SWT juga menegaskan bahawa penciptaan manusia adalah berdasarkan fitrah yang suci dan seimbang:
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah.”
(Surah ar-Rum: 30)
Bahkan, Al-Quran turut meriwayatkan dengan tegas kisah kaum Nabi Lut AS, yang diazab kerana mengamalkan perbuatan seksual songsang dan menormalisasikannya dalam masyarakat. Seperti firman Allah SWT :
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memenuhi nafsu syahwat kamu, bukan perempuan. Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas.”
(Surah al-A‘raf: 81)
Demikian juga panduan kepada umat Islam agar tidak meniru atau menghalalkan perbuatan yang menyerupai kaum yang dimurkai Allah. Seperti Sabda Nabi Muhammad SAW :
“Allah melaknat kaum yang menyerupai perbuatan kaum Nabi Lut.”
(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa kecelaruan jantina dan gaya hidup seksual songsang bukan isu khilaf dalam Islam, sebaliknya telah diputuskan secara qat‘i (jelas) sebagai perbuatan yang haram dan bertentangan dengan fitrah insan.
Kesan Buruk Terhadap Masyarakat dan Generasi Muda
Penganjuran program yang mempromosikan kecelaruan jantina boleh membawa kesan yang sangat membimbangkan, khususnya kepada anak-anak dan remaja yang masih dalam proses pembentukan jati diri. Antara kesan buruk yang boleh berlaku ialah:
· Penghakisan nilai fitrah dan akhlak
Pendedahan awal kepada naratif kebebasan tanpa batas boleh mengelirukan pemahaman anak-anak tentang jantina, perkahwinan dan institusi keluarga.
· Normalisasi dosa dan maksiat
Apabila perkara yang jelas dilarang agama dipersembahkan sebagai “gaya hidup”, masyarakat akan menjadi semakin kebal terhadap dosa dan kehilangan sensitiviti moral.
· Ancaman terhadap institusi keluarga
Islam memandang keluarga sebagai asas pembinaan tamadun. Ideologi yang menolak peranan lelaki dan perempuan secara fitrah akan melemahkan struktur keluarga dan kestabilan sosial.
· Kerosakan psikologi dan krisis identiti
Banyak kajian menunjukkan kekeliruan identiti jantina membawa tekanan emosi, keresahan dan krisis jati diri, terutamanya dalam kalangan remaja.
· Pencabulan prinsip kenegaraan
Ideologi ini secara langsung bercanggah dengan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara serta nilai budaya masyarakat Malaysia.
Tanggungjawab Amar Makruf dan Nahi Mungkar
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.”
(Surah Ali ‘Imran: 104)
Bantahan terhadap penganjuran program seperti “Glamping with Pride” bukanlah bersifat kebencian terhadap individu, tetapi merupakan usaha mempertahankan kebenaran, fitrah manusia dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Bantah program “Glamping with Pride”
Sehubungan dengan itu, ISMA Bangi menyeru seluruh warga Hulu Langat, khususnya ibu bapa, pemimpin masyarakat dan pihak berautoriti, agar bersatu menyatakan bantahan terhadap program “Glamping with Pride” yang mempromosikan kecelaruan jantina dan ideologi songsang yang bakal diadakan pada 17-18 Januari 2026 di daerah Hulu Langat. Janganlah kita membuka walau sedikit ruang kepada pengaruh yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan masa depan generasi akan datang.
Mempertahankan nilai Islam dan budaya timur bukanlah satu bentuk ekstremisme, sebaliknya merupakan tanggungjawab moral dan agama demi kelangsungan masyarakat yang sejahtera dan dirahmati Allah SWT.
Ustaz Zaizul Irshadi Zaman
YDP ISMA Bangi


