GOMBAK, 9 Julai – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Gombak telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM57,829.52 kepada mangsa kebakaran di Kampung Mersing Johor, kelmarin.
Sumbangan itu diberikan kepada keluarga En Md Amin Bin Abd Ghani dan Puan Khadijah Sakiran di mana kediaman mereka telah musnah di dalam kebakaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfiri lepas, yang dianggarkan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Dr Ahmad Kamsani Bin Samingan telah menyampaikan sumbangan tersebut secara atas talian buat julung kalinya.
Tuan Haji Dr Ahmad Kamsani berkata, sumbangan awal dalam bentuk wang tunai dan sebuah tablet elektronik telah diperuntukkan kepada mangsa yang ditimpa musibah seumpama itu.
“Buat masa ini ISMA memberi bantuan awal untuk meringankan beban mangsa dan kita akan menyerahkan jumlah kutipan bantuan yang terkumpul untuk membantu mereka.”
“Bantuan bukan sahaja di pihak ISMA, tapi juga beberapa agensi lain yang berkaitan termasuk Kelab Relawan Muda, Persatuan Belia Islam Nasional, Serikandi Iffah dan juga sumbangan orang ramai yang bersatu tenaga bersama bagi membantu mangsa kebakaran ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan malam kelmarin
Turut hadir, YDP ISMA Gombak, Tuan Mohd Hafizan Bin Abdul Wahab, Ketua Wanita ISMA Gombak, Puan Khadijah Afifah Binti Ahmad serta Ketua Koordinator Kelab Relawan Muda, En Syed Abdul Hadi.
Beliau berharap semua mangsa dapat bersabar dan turut bersama – sama menasihati supaya mengambil iktibar dari tragedi itu.
Sementara itu Tuan Mohd Hafizan berkata, ISMA Gombak sentiasa cakna dengan kebajikan para ahli ISMA khususnya kejadian yang berlaku ke atas keluarga En Md Amin yang mana anak kepada kedua pasangan ini iaitu Cik Sakinah Binti Md Amin merupakan ahli yang bergiat aktif dengan ISMA Gombak.
“Tindakan awal telah digerakkan apabila mendapat khabar berita kebakaran yang berlaku kepada keluarga Cik Sakinah dan ISMA Gombak telah melancarkan tabung khas bagi membantu menampung kerugian yang ditanggung oleh keluarga mangsa.”
“Sehubungan itu, ISMA Gombak sangat berterima kasih kepada para ahli ISMA dan penyumbang yang bersama-sama membantu menghebahkan tabung khas tersebut.