Saya mewakili Wanita ISMA berkesempatan bersama-sama PEMBELA bertemu dengan SUHAKAM baru-baru ini. Ada beberapa perkara yang kami tegaskan semasa pertemuan dengan SUHAKAM, antaranya adalah tindakan untuk tidak menerima sebarang pendanaan dan hubungan diplomasi dengan Amerika Syarikat di atas genosid yang sedang berlaku di Palestin sekarang seharusnya di sokong sepenuhnya oleh pelbagai pihak.
Kerajaan tidak sewajarnya menyekat hak kebebasan bersuara rakyat dalam mengekspresi pandangan dengan kritikan-kritikan yang membina dalam memastikan negara ditadbir dengan baik mengikut perundangan. Keadaan semasa ketika ini, yang mana terdapat beberapa media, portal laman web dan Facebook telah di sekat amat membimbangkan kerana ianya akan melahirkan rakyat yang pengecut dan tidak bebas bersuara dalam memastikan tadbir urus negara dilaksanakan dengan baik.
Selain itu juga, berkaitan dengan hak asasi para pelajar di sekolah-sekolah kerajaan dalam memastikan keperluan tandas yang bersih, bilik darjah yang selesa, guru-guru penyayang yang terlatih adalah wajar dibangkitkan dalam setiap mesyuarat PIBG di sekolah-sekolah kerana sekolah adalah sistem sokongan ibu bapa dalam membentuk adab dan jati diri anak-anak. Pendedahan kepada ibu bapa tentang terdapatnya sistem aduan kepada SUHAKAM berkaitan hak asasi pelajar disekolah sewajarnya diwar-warkan secara meluas kepada semua ibu bapa seluruh Malaysia.
Tindakan SUHAKAM dalam membangunkan beberapa modul Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (AHTAM) untuk sekolah-sekolah adalah amat baik dalam menangani kes buli sesama pelajar, kes salah laku guru dan sebagainya. Dan ianya wajar untuk di lengkapkan lagi dengan penambahan modul-modul lain yang dibangunkan oleh NGO seperti Modul Kesihatan Reproduksi dan sebagainya.
Pengurusan pelarian yang berada di Malaysia seperti pelarian Rohingya, Yaman dan sebagainya, termasuklah pelajar-pelajar daripada negara Palestin yang tidak diperbahurui visa mereka oleh kedutaan Palestin sewajarnya di lihat dalam kaca mata kemanusiaan bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara Islam boleh bantu mereka meneruskan kehidupan dengan harmoni dan tidak berlaku pelbagai jenayah yang tidak diingini.
Saya mengharapkan agar pertemuan bersama PEMBELA-SUHAKAM ini sebagai permulaan yang baik serta mengharapkan pertemuan dan perbincangan yang berterusan dalam memastikan semua kehendak perundangan adalah selari dengan kehendak Allah SWT dalam usaha memakmurkan negara ini.
Shazmawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA