ISMA Ingatkan DAP, Malaysia negara Islam dan Melayu, Jangan Jadikan Malaysia Negara Mabuk

BANGI, 28 Oktober – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy mengingatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bahawa Malaysia paksinya adalah Islam dan Melayu.

“Saya nak ingatkan kepada DAP dan yang lain-lain termasuk juga sebahagian orang Melayu yang lupa diri, bahawa negara ini paksinya adalah Islam dan Melayu sebagai tunjang utama. Malaysia bukan Hong Kong atau Shanghai.

“Ini adalah tanah keramat yang kita warisi daripada nenek moyang kita dan para pejuang Melayu terdahulu. Negara ini ada agamanya iaitu Islam, ada pegangannya iaitu syariat Islam dan budaya Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, jika mereka benar-benar sayang akan negara ini, jangan bersungguh-sungguh hendak mempromosikan arak dalam ruang awam seperti di sekolah dan di dalam syarikat penerbangan negara atas nama hak pelanggan antarabangsa.

“Lagi tak masuk akal DAP nak pertahankan acara yang ditaja syarikat arak di dewan sekolah. Siap boleh beri amaran terbuka kepada PM yang tegur tentang insiden itu,” katanya lagi.

Tambahan lagi, rakyat terutama orang-orang Melayu sudah muak dan marah dengan agenda yang semakin melampau mahu menjadikan Malaysia negara mabuk.

Dari sudut fakta kesihatan arak tidak ada manfaat langsung, malah, meningkatkan kos sosial dan kesihatan akibat penyalahgunaan alkohol, dianggarkan mencecah lebih RM8 bilion setahun termasuk rawatan hospital, kemalangan, jenayah dan kehilangan produktiviti.

Presiden ISMA menyeru supaya berhenti berlembut dengan agenda menjadikan arak sebagai gaya hidup moden di Malaysia.

ISMA dan Yayasan Maghfirah dengan kerjasama pelbagai NGO pernah menganjurkan Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak pada 2022.

Scroll to Top