Oleh : Mohd Khairul bin Ahmad Nordin
Tampoi, 17 Okt – Klinik Al-Fatihah yang dianjurkan oleh Biro Dakwah ISMA Johor Bahru dan Pemuda ISMA Johor Bahru telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memantapkan lagi bacaan surah itu di Ruang Niaga Plaza Angsana pada hari ini.
Ketua Biro Dakwah ISMA Johor Bahru, Hj Asyraf Amiruddin berkata program ini merupakan salah satu daripada inisiatif biro dakwah untuk membudayakan pembacaan Al-Quran dengan tartil dalam kalangan masyarakat. Program ini tidak hanya fokus kepada bacaan semata-mata tetapi merangkumi penghayatan maksud bacaan dan tafsir ringkas oleh para asatizah yang bertugas di Klinik Al Fatihah.
“Kami di pihak ISMA Johor Bahru berbesar hati kerana pihak pengurusan Plaza Angsana memberikan kerjasama yang baik dalam penganjuran Klinik Al Fatihah yang julung kali diadakan di sini”, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sepanjang program yang telah berlangsung tadi, seramai 50 orang telah memperdengarkan bacaan masing-masing dan telah dibimbing oleh para asatizah bertugas. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan jantina yang sukarela hadir untuk memantapkan bacaan Al-Fatihah masing-masing.
Ketua Penyelaras program yang juga Ketua Pemuda ISMA Johor Bahru, En Fhirdaus Zainal Abidin yang berada di sana berkata, program ini mendapat sambutan yang agak baik dalam kalangan pengunjung yang hadir.
“Mungkin ramai juga yang agak risau untuk turut serta namun pihak urusetia telah memastikan agar SOP penjarakan fizikal dapat dijaga dan kami juga menyediakan kod QR Mysejahtera bagi setiap peserta yang terlibat”, ulas beliau.
ISMA Johor Bahru sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam menjalankan program khususnya yang bermatlamat membantu pembangunan jati diri masyarakat.