ISMA Perkukuh Kerjasama Dakwah Komuniti Bandar Bersama JAWI

KUALA LUMPUR, 3 Februari — Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membincangkan kerjasama strategik dakwah komuniti, dengan fokus kepada pembangunan belia remaja, wanita dan institusi keluarga.

Kunjungan ini disambut mesra oleh pihak JAWI yang diwakili oleh Timbalan Pengarah (Operasi), Ustaz Hj Jamali Adnan, bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah, Pn. Imlah Abd Aziz. Sesi pertemuan berlangsung dalam suasana profesional dan konstruktif, dengan penekanan terhadap penyelarasan program lapangan serta pemerkasaan dakwah berasaskan komuniti bandar.

ISMA diwakili oleh Presiden, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat; Ketua Perhubungan ISMA Wilayah Persekutuan, Dr Osman Rasip; Setiausaha Agung ISMA, Ustaz Muhammad Izzat Husman; serta Yang Dipertua ISMA Kuala Lumpur, Ustaz Hisham Sabrani.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen ISMA bersama JAWI untuk memperkukuh jaringan kerjasama institusi dalam memperluas impak dakwah, memperkasa komuniti bandar, serta memastikan pembangunan sosial yang seimbang dan berteraskan nilai Islam.

Scroll to Top