ISMA Sandakan Cadang SKMM Latih ‘Ikon Komuniti’ Tangani Jenayah Siber

SANDAKAN, 4 FEBRUARI — Kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah siber mencetuskan kolaborasi strategik antara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sandakan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkasakan keselamatan internet dalam kalangan penduduk setempat.

Yang dipertua ISMA Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit, telah dijemput oleh pegawai SKMM Sandakan untuk mengadakan program kesedaran yang memfokuskan kepada ancaman digital yang semakin berleluasa. Program ini bertujuan memberi pendedahan terus kepada komuniti tentang cara melindungi diri daripada penipuan atas talian dan ancaman siber yang lain dengan modul SKMM yang disediakan.

Dalam sesi tersebut, Ustaz Muhammad Nur mengemukakan cadangan serius agar SKMM melaksanakan program kesedaran dalam bentuk Latihan Tenaga Pengajar (Train the Trainer – TOT) kepada wakil-wakil komuniti terpilih.

“Kita memerlukan individu yang boleh menjadi ‘ikon’ dalam komuniti mereka sendiri. Dengan adanya program TOT, wakil komuniti ini akan dilengkapi dengan ilmu yang cukup untuk menjadi jurucakap dan ejen kesedaran yang menyebarkan bahaya jenayah siber secara lebih dekat dan berkesan kepada penduduk setempat,” tegas beliau.

Cadangan tersebut dilihat sebagai langkah proaktif bagi memastikan maklumat keselamatan internet tidak hanya terhenti selepas tamat sesuatu program, sebaliknya terus mengalir menerusi rujukan setempat yang dipercayai.

Pihak SKMM Sandakan menyambut baik pandangan tersebut dalam usaha membina ekosistem digital yang lebih selamat. Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan statistik mangsa penipuan siber yang sering melibatkan kerugian kewangan yang besar dalam kalangan masyarakat.

Scroll to Top