BANGI, 4 Mac- Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd Noor Azib Asmangi menyarankan kepada kerajaan negeri Melaka agar percepat usaha pertukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka seperti yang termaktub dalam sejarah.
“Kita sarankan kerajaan negeri cepat-cepat putuskan nak letak nama apa yang lebih menggambarkan sejarah dengan lebih tepat.
“Harap permudahkan urusan ini. Sebelum ini senang-senang sahaja digelar Bukit St. Paul, jadi mudahkan dan cepatkan pertukaran nama kepada nama asal,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Melaka dalam usaha menukar nama asal Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka seperti yang termaktub dalam sejarah Melayu Melaka, sebelum ketibaan penjajah. Namun usaha tersebut masih dalam peringkat kajian terperinci sama ada kekal memilih nama Bukit Melaka atau nama lain yang mempunyai identiti Melayu.
“Namakanlah apa sahaja yang penting melambangkan sejarah asal Melaka, bukan Bukit St. Paul.
“Walaupun mungkin akan bertukar kepada nama lain yang penting bukan Bukit St. Paul,” tambahnya lagi.
Azib juga berharap agar kerajaan Melaka tidak tunduk dengan desakan sesetengah pembangkang terutamanya dari DAP yang membidas cadangan penukaran nama kepada Bukit Melaka seperti dilaporkan sebelum ini.
“Kita yakin penduduk tempatan akan lebih gembira dengan nama sebenar, bukan Bukit St. Paul,” katanya lagi.
Pada tahun 2020, Pemuda Isma pernah menjalankan kempen tukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka dengan pelbagai usaha yang dilakukan seperti mendapatkan sokongan daripada orang awam, berjumpa dengan Perbadanan Muzium Melaka dan pelbagai lagi.