Isma Seremban Sampaikan Sumbangan Kepada Keluarga Mangsa Banjir Kilat

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

SEREMBAN, 12 Nov – Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia, Isma Cawangan Cawangan Seremban berkesempatan berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada 15 buah keluarga yang ditimpa musibah banjir kilat di Kg Batu 3 dan Kg Sri Mantau, Mambau di sini petang tadi.

Naib Presiden Isma, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, bersama Ahli Jawatankuasa Isma Pusat, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat dan YDP Isma Seremban, Tn Hj Norhelmi Jamil telah bersama dalam kunjungan dari rumah ke rumah untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang diuji.

Sebelum serahan barang-barang keperluan ini dibuat, penggerak Isma Cawangan Seremban telah turun dari rumah ke rumah penduduk di sini untuk mengedarkan sarapan, makanan tengah hari dan peralatan-peralatan harian yang lain, di samping bertungkus lumus membantu membersikan rumah-rumah mangsa.
Keluarga-keluarga yang terpilih untuk menerima bantuan tadi telah dikenalpasti melalui kunjungan berkali-kali penggerak Isma Seremban ke sana sebelum ini.

Musibah yang menguji mereka ini telah hampir seminggu berlau, namun ia seolah-olah sebuah mimpi ngeri yang masih belum dapat dilupakan oleh kebanyakan mangsa di sana.

Kebanyakan penduduk yang kami temui masih trauma dengan insiden banjir ini yang telah memusnahkan hampir 90 % daripada peralatan dan keperluan rumah mereka.

Mereka rata-ratanya mengalirkan air mata apabila menceritakan kembali detik-detik kejadian yang memusnahkan peralatan, kenderaan dan rumah-rumah mereka.

Hampir semua keluarga yang kami temui petang tadi menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan. Tidak kurang juga mereka yang menitiskan air mata kesyukuran.

Amat menyayat hati, apabila keluarga seorang penerima bantuan menangis teresak-esak manakala suaminya yang diuji dengan masalah kesihatan meraung di dalam rumah tatkala sumbangan yang tidak seberapanya kami serahkan.

Isterinya bekerja sebagai pembantu kantin dan pembantu kedai makan, bertanggungjawab menyara suaminya yang mengalami angin ahmar sejak setahun yang lalu.

Sebelum kami pulang, kami turut dijamu dengan hidangan makanan yang cukup enak di rumah salah seorang penerima bantuan yang juga merupakan ahli Kelas Pengajian Al-Quran dan Tajwid, Wanita Isma Cawangan Seremban saban minggu di Surau Al-Muqarrabin, Mambau. Proses pengagihan sumbangan tadi selesai sebaik sahaja azan Isyak berkumandang.

Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang yang budiman atas kepercayaan tidak berbelah bahagi kalian kepada kami dalam menyampaikan amanah ini.

Moga Allah berkati setiap sumbangan yang dihulurkan oleh segenap lapisan masyarakat melalui tabung misi banjir yang kami lancarkan pada hari kedua kejadian. Alhamdulillah bantuan yang kami terima dalam pelbagai bentuk dari pelbagai pihak.

Moga sumbangan yang berjaya disampaikan tadi sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang diuji.
Bersama kita berdoa agar keluarga mangsa yang diuji ini terus tabah dalam membina kehidupan yang baharu pasca ujian banjir dan pendemik ini.

Benarlah musibah buat mereka, merupakan ujian buat kita yang masih dipinjamkan oleh Allah SWT dengan pelbagai nikmat dan kemudahan. Moga semuanya menjadikan kita hambaNya yang redha dan bersyukur dengan segala ujian dan nikmatNya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat