ISMA Sokong Titah Sultan Selangor Berkenaan Isu Penternakan Babi di Selangor

ISMA merafak sembah setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas titah dan pendirian Baginda berhubung isu penternakan babi di negeri Selangor.

Penegasan Baginda bahawa aktiviti tersebut tidak wajar dilaksanakan di mana-mana kawasan negeri ini mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya kesejahteraan orang-orang Melayu dan Islam di negeri Selangor, di samping pemeliharaan alam sekitar, keselamatan sumber air serta keharmonian masyarakat majmuk, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama negeri dan peranan Raja sebagai Ketua Agama Islam.

ISMA menyokong sepenuhnya kebijaksanaan Baginda yang menilai isu ini secara menyeluruh serta mencadangkan pendekatan pengimportan bagi memenuhi keperluan pihak tertentu berteraskan prinsip keadilan sosial.

Sehubungan itu, ISMA menyeru semua pihak agar menghormati titah Baginda demi memelihara keamanan, perpaduan dan kesejahteraan negeri Selangor serta terus menjunjung institusi Raja Berperlembagaan sebagai payung kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Daulat Tuanku.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat
Presiden ISMA
10 Februari 2026

Scroll to Top