KUANTAN, 29 September – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy menegaskan bahawa sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan pendidikan kepada masyarakat setempat ISMA akan terus berusaha membina jati diri anak-anak muda melalui aktiviti sukan.
“Sukan bola sepak ini membantu membentuk jati diri kerana di dalamnya ada nilai semangat berpasukan, disiplin serta patuh pada strategi pasukan dan lain-lain,” katanya ketika ucapan penutup perlawanan bola Sepak Piala Presiden 2025 Zon Pantai Timur kelmarin.
Tambahnya kejohanan kali ini adalah hasil usaha daripada dakwah komuniti dan akar umbi ISMA di seluruh Pantai Timur melibatkan cawangan Temerloh, Pekan, Kuantan, Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
“Ia adalah hasil jerih payah dan pengorbanan Pemuda ISMA menggerakkan aktiviti dakwah dalam komuniti selama 2-3 tahun yang lepas,” katanya.
ISMA Pekan FC menjadi juara Piala Presiden ISMA dengan penentuan sepakan penalti mengalahkan ISMA Kuantan FC di Padang MBK 1 Kuantan.
Ujarnya lagi penganjuran perlawanan bola sepak Piala Presiden ISMA ini sebagai satu langkah strategik untuk mengikat ahli komuniti dan mengumpulkan semua lapisan masyarakat melalui aktiviti sukan.
“Hubungan masyarakat hari ini terlalu terlalu rapuh, masing-masing tidak kenal antara satu sama lain walaupun duduk dalam kawasan yang sama, jadi penganjuran riadah bola sepak setiap minggu ini sebagai satu asbab untuk mengikat ahli-ahli komuniti,” katanya.
Pada masa sama, Presiden ISMA berkata generasi muda adalah masa depan negara yang mesti diberikan tumpuan agar mereka memiliki intelektual, rohani dan fizikal yang kuat.
“Mereka akan menjadi kepimpinan masyarakat yang akan mencorakkan lanskap perubahan negara pada masa akan datang,” katanya lagi.
Presiden ISMA turut berbesar hati dapat bertemu dengan para jurulatih senior yang berpengalaman dan terlibat sehingga pengendalian pasukan negeri dan kebangsaan dalam kejohanan kelmarin.
Kini, mereka menyumbangkan bakti dan kemahiran bersama Pemuda ISMA membangunkan bakat pemain muda di peringkat komuniti.
“Insya Allah selepas ini kita akan anjurkan kejohanan yang sama melibatkan cawangan ISMA yang lain di seluruh negara,” katanya.
Sebanyak lapan buah pasukan berentap iaitu ISMA Temerloh FC, ISMA Pekan FC, ISMA Kuantan FC, ISMA Kelantan FC, ISMA Dungun FC, ISMA KT FC, ISMA Kemaman FC dan ISMA Nilai FC bermula jam jam 8 pagi.