ISMA Temerloh sambut seruan Presiden ISMA, jadi murabbi ummah

TEMERLOH, 24 Mei – Susulan Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA yang telah berlangsung pada 26 April yang lepas, ISMA Temerloh mengambil inisiatif mengumpulkan ahli di cawangan baru-baru ini bagi membincangkan lebih mendalam intipati ucapan dasar Presiden ISMA.

Perbincangan dua hala yang diketuai oleh Dr. Aliff Asyraf Salleh, Ketua Biro Tarbiyah ISMA Temerloh ini memberi penjelasan kepada ahli kepentingan memahami konsep Ummah Fadhilah yang ditulis dalam kertas ucapan dasar.

Perwakilan dari ISMA Temerloh yang turut hadir Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA ke-19

Pada masa yang sama Dr. Aliff Asyraf menyuntik semangat ahli ISMA bersedia untuk menjadi murabbi ummah dalam usaha menegakkan kedaulatan Islam di Malaysia seperti saranan Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy.

“Menjadi murabbi ummah tugas yang mulia kerana kita sedang membentuk peribadi seorang muslim yang cinta akan agamanya. Islam bukan sekadar amalan harian tetapi merangkumi aspek seluruh kehidupan.

“Seorang muslim yang baik pula jiwanya akan sensitif terhadap perkara terhadap perkara yang mengancam kedaulatan Islam di Malaysia,” katanya.

Pada masa yang sama buah fikiran yang dikongsikan para peserta memberi gambaran situasi umat yang tenat dan kian jauh daripada Islam menjadi perbincangan utama yang lebih mendalam tentang pentingnya bagi orang-orang yang faham untuk mengambil peranan aktif di posisi masing-masing.

“Ramai orang-orang baik di Malaysia bukan lagi hujah untuk kita sentiasa berada di zon selesa.

“Kekurangan pemimpin yang benar-benar membawa imej Islam menjadi satu kegusaran kerana umat ini tidak punya banyak figura soleh yang mampu ditonjolkan dan berani tampil ke hadapan bagi mendepani kekeliruan umat dalam pelbagai isu,” katanya.

Sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden ISMA bersama ahli di pejabat ISMA Temerloh diadakan bagi memahami intipati dan gerak kerja cawangan selepas ini.

Menutup perbincangan, Ustaz Shahrunizam Mohammud, Yang Dipertua ISMA Temerloh mengajak ahli-ahli ISMA Temerloh untuk menjadi murabbi ummah yang akan memimpin masyarakat dalam memahami Islam dengan lebih sahih dan jelas.

Scroll to Top