RAWANG, 26 Februari – Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut menyertai Gotong-Royong Rakyat bagi membersihkan kawasan Yayasan Kubra susulan perobohan struktur kuil haram yang didirikan tanpa kebenaran di atas tapak berkenaan.

Program yang bermula pada sebelah petang semalam disertai oleh Ahli JKP ISMA, Muhammad Nukman Ab Halim, bersama Yang Dipertua ISMA Gombak, Ir Mohd Faiq Naquiddin serta barisan ahli dan sukarelawan.
Kerja-kerja pembersihan melibatkan pengalihan serpihan konkrit, kayu dan sisa binaan lain bagi memastikan kawasan tersebut kembali selamat dan teratur.


Menurut Muhammad Nukman Ab Halim, kehadiran mereka adalah sebagai tanda tanggungjawab sosial terhadap komuniti setempat serta komitmen untuk memastikan isu pencerobohan tanah dan pembinaan tanpa kelulusan ditangani secara undang-undang.
Gotong-royong tersebut berakhir menjelang waktu Maghrib dengan para peserta bersama-sama berbuka puasa secara sederhana di lokasi program sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Suasana kebersamaan dan disiplin para sukarelawan mencerminkan semangat ukhuwah serta komitmen terhadap khidmat masyarakat.
ISMA menyeru agar semua pihak menghormati proses perundangan serta terus memelihara keharmonian masyarakat dalam menangani isu-isu sensitif secara matang dan bertanggungjawab.


