Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar kisah agung dalam sejarah Islam yang diraikan saban tahun. Tetapi, mesej langsung dari langit, satu peringatan keras namun penuh rahmat daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Di sebalik perjalanan luar biasa Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, dan seterusnya menembusi lapisan langit, Allah SWT menghadiahkan satu perintah yang menjadi teras kehidupan seorang Muslim: SOLAT.
Solat bukan ibadah biasa. Tetapi, ibadah yang satu-satunya difardukan secara langsung oleh Allah SWT, tanpa perantaraan malaikat, di tempat yang paling mulia. Hal ini menunjukkan kedudukannya yang amat tinggi. Namun realitinya hari ini, solat sering menjadi perkara yang dipermudah, dilengahkan, atau ditinggalkan, seolah-olah tidak lagi membawa makna besar dalam kehidupan seharian.
Hakikatnya, solat ialah penghubung langsung antara hamba dan Pencipta. Di situlah seorang Muslim mengadu, tunduk, merendah diri dan mengakui kebergantungan mutlak kepada Allah SWT. Apabila solat diabaikan, maka terputuslah hubungan ini. Lalai dalam solat bukan sekadar kecuaian ibadah, tetapi petanda kelalaian iman dan lemahnya rasa kehambaan kepada Allah.
Peristiwa Israk Mikraj mengajar kita bahawa solat adalah asas pembinaan iman dan kekuatan ummah. Solat yang dijaga akan membentuk jiwa yang tenang, akhlak yang terkawal dan disiplin hidup yang tersusun. Sebaliknya, solat yang diabaikan membuka ruang kepada kerosakan moral, ketidakjujuran, ketamakan dan kekosongan jiwa, walaupun seseorang itu kelihatan berjaya dari sudut duniawi.
Lebih membimbangkan, dalam dunia hari ini, ramai yang terpedaya dengan kesibukan, hiburan, media sosial dan teknologi, sehingga masa untuk solat dianggap beban. Kita sanggup menunggu berjam-jam demi hiburan, sanggup berjaga malam demi kandungan kosong, tetapi berat untuk berdiri lima minit menghadap Allah. Ini adalah bentuk kelalaian yang halus, namun sangat berbahaya.
Solat juga merupakan penentu nasib akhirat. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalannya. Jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruhnya. Persoalannya, di manakah kedudukan solat dalam keutamaan hidup kita hari ini?
Sempena peringatan Israk dan Mikraj ini, marilah kita berhenti sejenak dan bermuhasabah. Adakah solat kita benar-benar dijaga, atau sekadar ditunaikan tanpa jiwa? Adakah kita solat kerana Allah, atau kerana kebiasaan? Adakah solat membentuk akhlak kita, atau kita masih jauh daripada nilai Islam walaupun tidak pernah “tinggal” solat? Seperti Firman Allah SWT :
Maksudnya : Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat, (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
(Surah al-Ma’un, ayat 4-5)
Kebangkitan ummah tidak bermula dengan slogan besar atau retorik semata-mata, tetapi bermula dengan pembetulan hubungan dengan Allah.Serta, hubungan itu bermula dengan solat. Jika kita mahu melihat ummah yang kuat, berakhlak dan diberkati, maka solat perlu dikembalikan ke tempatnya yang sebenar, sebagai keutamaan, bukan sampingan.
Israk dan Mikraj adalah jemputan daripada Allah SWT untuk kembali. Kembali menjaga solat, kembali menyempurnakannya, dan kembali menjadikannya nadi kehidupan. Jangan tunggu sehingga solat ditinggalkan sepenuhnya, kerana ketika itu, hati mungkin sudah terlalu jauh untuk berpatah balik.
Ustaz Muhammad Zuhair bin Abdul Rahman
Ketua Biro Dakwah ISMA Alor Setar


