Isu Lawat Kuil dan Gereja Oleh IMPACT Malaysia : Usaha Bibit-Bibit Awal Pluralisme Agama

ISU LAWAT KUIL DAN GEREJA OLEH IMPACT MALAYSIA: USAHA BIBIT-BIBIT AWAL PLURALISME AGAMA

1. Isu utama yang perlu difokuskan di dalam initipati inisiatif #MalaysiaInklusif menerusi Projek Artikel 11 yang diterajui Impact Malaysia, ialah tujuan utamanya iaitu untuk memberikan kefahaman kepada belia bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan. Metode mengenali agama lain dengan hanya berpandukan mencari titik persamaan ini dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan yang membawa kepada kesetaraan atau persamaan (equality) antara agama-agama. Kesetaraan atau persamaan (equality) ialah salah satu ciri pluralisme agama yang mengajarkan bahawa semua agama sama dan setara , tidak ada yang paling baik dan tidak ada yang paling buruk.

2. Pelbagai respon telah diperolehi daripada penganjuran program “Jom Ziarah Gereja” tular di media sosial semalam adalah program di bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, agensi di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bertujuan mendedahkan belia Malaysia tentang budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa di negara bagi menerusi lawatan dan kesukarelawanan di Lembah Klang. Ini termasuklah respon pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan ‘Kristian Evengelist’. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh walaubagaimanpun menyelar dakwaan tersebut dan menurut sumber Sinar Harian, setiausaha politiknya telahpun membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut.

3. Dalam konteks jangka masa panjang terutamanya dalam membina sikap hormat menghormati antara agama lain, ia perlulah berlandaskan kefahaman yang benar sebagaimana yang dituntut di dalam agama Islam dan pematuhan kepada struktur Perlembagaan.

4. Oleh itu, Pembina mengambil inisiatif untuk mengingatkan belia, mahasiswa dan mahasiswi Islam untuk memahami metodologi pembelajaran ilmu perbandingan agama sebagaimana yang digariskan oleh para ulama’. Ilmu perbandingan agama ialah salah satu disiplin ilmu yang telah lama dipelopori oleh ulama’ Islam dan berkembang pada kurun ke-6/11 masihi dengan munculnya karya yang berjudul Kitab al-Milal wa al-Nihal yang dikarang oleh Al-Sharastani.

5. Dengan asas hujah yang kukuh daripada Wahyu dan akal, ulama’ perbandingan agama seperti Al-Shahrastani, Al-Biruni dan Ibn Hazm, mempelopori ilmu ini dengan objektif yang jelas iaitu bukan hanya memenuhi keperluan dakwah, bahkan yang lebih murni ialah menonjolkan keunggulan Islam sebagai agama sejagat tanpa mengorbankan ciri-ciri khusus agama Islam.

6. Tanpa prinsip dan metodologi ini,dibimbangi belia hari ini keliru dalam memahami agama dan budaya lain sehingga terjebak ke dalam faham pluralisme agama yang menimbulkan permasalahan yang sangat kritikal terutamanya isu kesetaraan agama (religious equality). Kesan kesetaraan yang ditekankan di dalam pluralisme agama menurut Dr. Anis Malik Thoha, “Pluralisme: Kerancuan Istilah” termasuklah mengesampingkan konsep keyakinan iman-kufur , tauhid-syirik.

7. Mengambil kira risiko kekeliruan kepada orang awam, Pembina justeru menyarankan agar program ziarah ke gereja, gurdwara tokong dan rumah ibadat agama selain Islam hanyalah dikhususkan kepada golongan pendakwah dan juga pelajar yang mendalami ilmu perbandingan agama sahaja.

8. Pembina juga menyeru mahasiswa dan mahasisiwi Muslim sentiasa berwaspada jika terdapat cubaan yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang bentuk program yang menggugat kedaulatan Islam dan menggangu sensitiviti keagamaan antara agama-agama lain di Malaysia.

 

Nur Irdina Hakimah binti NorAzali
JK Kajian dan Informasi Pembina
Pelajar Sarjana Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat