Isu Lepasan SPM: Perkasa semula agenda pendidikan sepanjang hayat

YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan menyatakan kira-kira 180,680 pelajar SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran berdasarkan data daripada sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM). ePKM merupakan inisiatif daripada pihak kementerian untuk mengumpulkan status pelajar lepasan SPM selepas tamat tingkatan lima. Statistik ini tidak harus dipandang remeh, kerana data sebelumnya iaitu pada tahun 2019, lebih 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilaporkan tidak berminat menyambung pelajaran ke menara gading.

Kaji selidik ini telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan dari tahun 2019 dan dipercayai trend ini akan berterusan sehingga tahun 2020-2021 disebabkan faktor ekonomi yang terjejas semasa penularan Covid-19.

Laporan kajian Sinar Harian menunjukkan beberapa faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini, antaranya ialah faktor ekonomi, ramai pelajar ingin mencari pendapatan sendiri demi kelangsungan hidup disamping ingin membantu keluarga yang berada di dalam kesusahan. Selain itu, mentaliti pendidikan yang tidak menjamin masa hadapan juga menjadi salah satu faktor yang utama.

Selain menawarkan bantuan kewangan, pembinaan mentaliti mencintai ilmu dan pendidikan sepanjang hayat merupakan aspek yang perlu sentiasa dihidupkan dalam membina sebuah masyarakat yang unggul.

Antara cadangan yang boleh difikirkan bersama adalah pihak kementerian boleh mengambil langkah-langkah yang proaktif terutamanya dalam mengenal pasti permasalahan akar umbi pelajar hilang minat menyambung pengajian. Cadangan ini seiring dengan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kementerian untuk menggalakkan pelajar lepasan SPM menyambung pengajian ke IPTA/IPTS, seperti sistem e-Profil Kerjaya Murid, pentaksiran psikometrik dan lain-lain. Inisiatif tersebut bagi membimbing pelajar mengetahui kecenderungan hala tuju kerjaya mereka.

Semua pihak termasuk pihak kementerian, ahli akademik, badan bukan kerajaan yang memperjuangkan pendidikan dan gerakan mahasiswa perlu bekerjasama dalam membina landasan pemikiran yang betul tentang kepentingan menuntut ilmu. Institusi pendidikan tinggi merupakan salah sebuah platform yang penting bagi membentuk ilmuwan dan pakar dalam sesebuah bidang. Sekiranya isu ini dibiarkan tanpa solusi yang efektif, negara berkemungkinan berdepan krisis kekurangan tenaga kerja yang pakar.

Akhir sekali, belia dan pendidikan adalah dua perkara yang amat penting dalam membina sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat. Sejarah tamadun manusia memperlihatkan bahawa bangsa yang menggunakan ilmu pengetahuan menurut epistemologi yang betul dan terus memperluaskan lagi ilmunya, akan mencapai tahap ketamadunan yang tinggi.

Nasrul Muhaimin
Naib Presiden

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat