Sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan kes pendatang haram yang masuk secara tidak sah. Bukan itu sahaja, turut berlaku penipuan kad pengenalan yang membabitkan pihak-pihak tertentu yang kita tidak ketahui.
Isu penipuan kad pengenalan dalam kalangan pendatang asing ini adalah sesuatu yang serius selain kegiatan lain sebagaimana yang melibatkan pendatang asing China seperti sindiket dadah, perjudian, penipuan pelaburan, penipuan pelaburan dan sebagainya. Kerajaan perlu bertindak tegas dan segera. Ini adalah isu nasional yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Belum selesai isu lambakan warga China, timbul pula isu berkaitan kemasukan pelarian etnik Rohingya ke negara ini yang mencetuskan kegusaran rakyat. Melihat kepada perkembangan-perkembangan semasa ini, kerajaan perlu memperketatkan proses kemasukan warga asing melalui kawalan di sempadan dan imigresen bagi mengelakkan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Selain itu, pihak berkuasa juga perlu menghadkan bilangan PATI yang dibenarkan masuk, dengan tidak membiarkan mana-mana syarikat mengambil seberapa jumlah pekerja asing sewenang-wenangnya.
Namun, kita mahu segala manipulasi orang politik yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan membawa masuk pendatang asing masuk dalam negara dihentikan segera. Bagi yang dilindungi bawah Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pula, mereka perlu diusahakan agar segera dipulangkan ke negara masing-masing.
Walaubagaimanapun, saya berpendirian bahawa isu lambakan pendatang asing memerlukan pengurusan yang sangat teliti antaranya elemen kemanusiaan dan kepentingan negara.
Sebagai sebuah negara Islam, memanglah secara umumnya kita wajib membantu mana-mana saudara muslim lain yang berada dalam kesusahan tidak kira di mana mereka berada. Tetapi, bantuan ini bukan bermakna boleh menggugat keselamatan negara dan kebajikan rakyat negara sendiri.
Diharapkan agar pihak berwajib mengambil serius akan masalah-masalah yang berkaitan PATI ini supaya tidak timbul lebih banyak masalah yang akan membebankan negara.
Hj Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)