Jadikan Ramadan titik permulaan membentuk ahli keluarga menjadi lebih baik

Awal Ramadan tempohari, tular video yang memaparkan gelagat seorang anak kecil yang mengalihkan kerusi seorang lelaki berusia yang sedang solat.

Perbuatan itu mengakibatkan lelaki itu jatuh. Rentetan dari tularnya video ini, banyak pendapat dikongsi oleh netizen berkenaan amalan membawa anak kecil ke masjid. Saya tidak berhasrat untuk menulis tentang kewajaran membawa anak kecil ke masjid ini kerana pada pandangan saya, orang dewasa perlu memantau kanak-kanak di bawah jagaannya.

Tetapi saya berminat untuk berkongsi panduan kepada ayah dan ibu amalan-amalan baik yang boleh dijadikan permulaan pada bulan Ramadan untuk dilazimi pada bulan-bulan yang seterusnya supaya anak-anak dapat memahami bahawa perbuatan ini bukan berhenti pada Ramadan tetapi berterusan sampai bila-bila.

1. Mengajak anak lelaki solat berjemaah di masjid
Solat berjemaah bagi lelaki adalah dituntut berdasarkan kepada petunjuk al-Quran dan kisah dalam sirah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pernah mengancam untuk membakar rumah sahabat yang tidak solat berjemaah di masjid. Abdullah Ibnu Makhtum yang buta, tua dan uzur juga tidak dikecualikan dari kewajipan ini kerana beliau masih mendengar azan dikumandangkan dari rumahnya.
Ayuh para ibu dan ayah, bawalah anak-anak anda terutama anak lelaki ke masjid. Mulakan dengan melazimi solat berjemaah di masjid pada bulan Ramadan, di kala ramai jemaah berpusu-pusu memenuhi masjid untuk solat tarawih. Moga dengan kemeriahan suasana itu, mencambahkan bibit kecintaan dalam hati anak-anak kita untuk terus istiqamah ke masjid.

2. Membaca al-Quran bersama ahli keluarga
Al-Quran dan Ramadan adalah sangat sinonim, kerana al-Quran diturunkan pada 17 Ramadan. Di bulan ini juga kebanyakan masjid dan surau melaksanakan program tadarus al-Quran. Jika selama ini, ibu dan ayah tidak berpeluang untuk duduk bersama dan membaca al-Quran bersama anak-anak, inilah masanya yang terbaik untuk mengajak anak-anak mencintai al-Quran dengan saling memperbetulkan bacaan. Lebih baik lagi sekiranya ibu atau ayah dapat berkongsi pengajaran dari kisah-kisah dari ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

3. Menerapkan amalan bersedekah dan memahami keperitan hidup orang lain
Ramadan kali ini kita disakiti dengan peristiwa pembunuhan terancang oleh Israel Zionis di Gaza. Imej-imej dan video-video yang berlegar di media sosial adalah alat bantu mengajar terbaik untuk seorang ayah bagi menggambarkan kesengsaraan saudara kita di sana. Wujudkan satu tabung yang dilabel Gaza di rumah dan mengasingkan sebahagian dari duit belanja bazar ramadan untuk dimasukkan ke dalam tabung itu adalah contoh praktikal yang boleh dilakukan. Anak-anak akan sentiasa melihat contoh teladan yang ditunjukkan oleh seorang ayah dan ibunya. Ayah dan ibu yang seringkali dilihat tidak lokek menderma akan melahirkan anak-anak yang pemurah dan empati dengan orang lain yang kurang bernasib baik.

4. Mengajarkan anak di dapur
Ramadan adalah bulan mencabar bagi seorang ibu. Seawal pagi bangun untuk menyediakan juadah sahur, sehinggalah kepada penyediaan juadah berbuka yang meletihkan di waktu petang. Tetapi cabaran ini boleh ditukarkan kepada peluang untuk melatih anak-anaknya ke dapur untuk membantu. Kadangkala suasana riuh rendah di dapur selepas waktu solat Asar itu, sedikit sebanyak dapat mengalihkan perasan letih dan lapar berpuasa bagi anak-anak. Berikan tugasan yang mudah-mudah kepada mereka seperti membasuh sayuran atau menyusun pinggan di atas meja.

5. Mendidik adab ketika di masjid
Solat tarawih yang hanya ada di bulan Ramadan adalah peluang yang tidak seharusnya dipersiakan. Seperti para ayah, kaum ibu juga tidak terkecuali ingin turut merasai nikmat bersolat terawih di masjid dan surau masing-masing. Namun apa yang sering menghambat para ibu ialah kegusaran sekiranya kehadiran anak-anaknya akan mengganggu jemaah lain yang ingin bersolat. Ya, di sinilah peranan seorang ibu untuk mendidik anak-anaknya dengan adab ketika berada di rumah Allah. Seawal di rumah, anak-anak perlu diingatkan untuk berkelakuan sopan dan tidak berlari-lari. Sebaiknya bawalah beberapa permainan kecil agar anak-anak dapat bermain ketika ibunya bersolat. Ibu juga harus peka bilamana keadaan menjadi tidak terkawal dan intervensi perlu dilakukan. Anak-anak akan belajar adab di rumah Allah, dan dalam masa yang sama, mereka juga dapat berjinak-jinak dengan masjid.

Mari jadikan asbab Ramadan sebagai titik permulaan untuk mendidik ahli keluarga kita menjadi lebih baik dan terus istiqamah menjalankan amalan-amalan baik di bulan Ramadan berterusan sampai bila-bila. Seperti firman Allah dalam Surah Hud ayat 112, “Maka beristiqamahlah sebagaimana kamu telah diperintahkan”.

Akhma Deena Khalid
Biro Keluarga dan Masyarakat Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat