Jaga Ikhtilat: Menutup Pintu Curang di Tempat Kerja

Fenomena curang dalam perkahwinan semakin membimbangkan. Pelbagai genre dan kisah yang kita dengar dan baca dalam media sosial daripada pengakuan peribadi hinggalah kepada rakaman video yang tular di media sosial. Ada yang berlaku curang dengan rakan sekerja, dan ada juga dengan individu dari tempat kerja yang berbeza.

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), 20.5% wanita menyatakan punca perceraian mereka adalah kerana suami curang, manakala 11.8% lelaki pula mengaku perceraian berlaku disebabkan isteri curang.

Ini adalah hakikat yang merisaukan jika tidak ditangani dengan serius, peratusannya akan meningkat dan akan membawa kerosakan yang berpanjangan terhadap struktur sosial dan kesejahteraan negara.

Lebih malang lagi, kecurangan dan hubungan zina kini berlaku dalam bentuk normalisasi yang tersusun dan terancang, ini bukan lagi soal isu moral peribadi, bahkan wujud kumpulan sosial yang memperdagangkan nilai perkahwinan dengan aktiviti seperti bertukar pasangan (swinger) sebagai perkara normal dalam komuniti mereka.

Jika diteliti, kebanyakan kes kecurangan yang berlaku hari ini sering bermula daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di tempat kerja yang tidak dijaga dengan disiplin.

Pergaulan seperti ini dikenali sebagai ikhtilat, iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di tempat dan waktu tertentu tanpa mematuhi batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Istilah ikhtilat sering kali disebut semasa zaman persekolahan dan universiti. Namun begitu, apabila seseorang meningkat dewasa, ramai yang mula menganggapnya sebagai perkara kecil yang tidak lagi relevan. Ada pula yang beranggapan mereka sudah cukup matang dan mampu bersikap profesional dalam menguruskan hubungan sesama rakan sekerja, walhal hakikatnya batas pergaulan tetap perlu dijaga sebagaimana yang ditekankan dalam ajaran Islam.

Antara bentuk ikhtilat yang sering dianggap remeh adalah tidak menjaga pandangan seperti memandang wajah atau mata suami atau isteri orang lain dalam tempoh yang lama, membayangkan atau memikirkan mereka dalam hal-hal yang bersifat peribadi, selain itu, memberi act of service kepada rakan sekerja bukan mahram, bertukar – tukar hadiah, atau menggunakan gelaran seperti “office husband” dan “office wife”.

Semua ini adalah bentuk ikhtilat yang perlahan-lahan boleh membuka ruang kepada hubungan terlarang.

Bibit-bibit awal ikhtilat yang diabaikan inilah yang sering menipu manusia dengan perasaan yang kononnya indah, tetapi akhirnya membawa kepada kecurangan dan meruntuhkan ikatan perkahwinan yang dibina.

Islam menetapkan garis panduan yang jelas adab pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dengan menekankan kepentingan menjaga ikhtilat.

Sehubungan itu, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA ingin memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang maksud sebenar ikhtilat serta tanggungjawab setiap individu dalam institusi keluarga, khususnya suami dan isteri. Kedua-duanya perlu memainkan peranan secara proaktif dalam mendidik diri sendiri, pasangan, dan anak-anak dengan nilai-nilai Islam, agar isu ini dapat dibendung sejak dari peringkat awal lagi.

Didikan tentang kefahaman ikhtilat perlu bermula dari rumah

Menjadi tanggungjawab seorang bapa dan suami untuk memberi didikan kepada keluarganya tentang batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, atau yang dikenali sebagai ikhtilat. Allah berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 tentang tugas bapa dan suami untuk sentiasa berwaspada dan berusaha pelihara ahli keluarga daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat ;

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ٦

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Seorang suami perlu memberi kefahaman kepada isterinya tentang pentingnya menjaga pergaulan, terutama jika si isteri juga bekerja dan bergaul dengan lelaki bukan mahram di tempat kerja. Begitu juga dengan seorang bapa, dia perlu mendidik anak-anak, sama ada lelaki atau perempuan, tentang batas pergaulan kerana mereka akan membesar dalam masyarakat yang semakin terbuka dan bercampur.

Pemahaman yang jelas tentang ikhtilat ini akan menjadi prinsip hidup mereka. Ia dapat membimbing mereka untuk menjaga diri dan mengelakkan daripada terjebak dalam perbuatan maksiat atau perkara yang tidak bermoral.

  1. Kefahaman tentang Ghaddul Basar” (غَضُّ الْبَصَرِ)

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) sering kali bermula dengan pandangan mata. Sebab itu, Islam sangat menekankan supaya orang beriman, sama ada lelaki atau perempuan, menjaga pandangan mereka. Dalam bahasa Arab, ini dikenali sebagai “Ghaddul Basar” (غَضُّ الْبَصَرِ), yang bermaksud menahan mata daripada melihat perkara yang haram atau yang boleh membangkitkan nafsu dan membawa kepada fitnah.

Apabila seseorang berusaha menjaga matanya daripada melihat yang tidak sepatutnya, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih indah iaitu menjadikan pasangan halalnya kelihatan paling cantik atau tampan di matanya. Inilah ganjaran istimewa bagi orang yang taat. Pandangannya terhadap pasangan akan dipenuhi rasa cinta, ketenangan dan syukur, kerana hatinya bersih daripada perbuatan maksiat.

  1. Kefahaman tentang tabarruj

Tabarruj bermaksud menonjolkan kecantikan atau memperlihatkan perhiasan diri di hadapan lelaki yang bukan mahram. Dalam kitab-kitab fiqh, wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun dikategorikan sebagai wanita muda yang sememangnya mempunyai daya tarikan secara semula jadi tanpa solekan atau pakaian menarik pun sudah cukup untuk menimbulkan fitnah.

Oleh itu, peranan suami dan bapa sangat penting dalam memastikan isteri dan anak perempuan mereka berpakaian dengan sopan dan tidak tabarruj ketika berada di luar rumah, termasuk ketika pergi bekerja. Jika perkara ini diabaikan, ia boleh membuka ruang kepada pergaulan bebas ikhtilat dan perkara maksiat yang lain. Firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 59,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٥٩

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

  1. Elak sembang perkara sia-sia

Seorang suami dan bapa bertanggungjawab mendidik isteri serta anak perempuan mereka agar tidak berbual panjang atau berlebih-lebihan dalam percakapan dengan lelaki yang bukan mahram. Ini penting bagi mengelakkan timbulnya penyakit hati seperti perasaan suka, berangan-angan atau keterikatan emosi yang akhirnya boleh membawa kepada pergaulan bebas (ikhtilat).

Dalam Surah al-Ahzab ayat 32, Allah memberi peringatan kepada isteri-isteri Nabi agar tidak bercakap dengan suara yang lembut dan manja ketika berbicara dengan lelaki ajnabi, sebaliknya disuruh menggunakan kata-kata yang baik dan sopan. Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi, pesanan ini turut terpakai kepada semua wanita Islam kerana ajaran Islam adalah menyeluruh dan bersifat melindungi.

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍۢ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌۭ وَقُلْنَ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا ٣٢

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”

  1. Elak berdua-duaan di tempat kerja

Seorang suami dan bapa yang benar-benar menjalankan tanggungjawab sebagai qawwam  pelindung dan pemimpin dalam keluarga  akan sentiasa menasihati serta memastikan isteri dan anak perempuan mereka tidak berada dalam situasi berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram, terutamanya di tempat kerja. Situasi seperti ini boleh membuka pintu kepada fitnah dan godaan syaitan.

Rasulullah SAW telah memberi peringatan tegas dalam sabdanya:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَة إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

“Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga di antara mereka.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, walaupun dalam suasana yang kelihatan ‘biasa’, tetap mengundang bahaya, kerana syaitan akan mencari jalan untuk menimbulkan niat buruk atau perasaan yang tidak sepatutnya.

Pilihan untuk tidak buka ruang dengan rakan sekerja yang act of service

Ikhtilat di tempat kerja tidak akan berlaku jika salah satu pihak tidak melayan. Sama ada lelaki atau perempuan, apabila kita benar-benar memahami konsep ikhtilat, kita akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan interaksi harian.

Jika ada rakan sekerja yang cuba mendekati kita secara berlebihan atau memberi act of service, kita masih ada pilihan untuk tidak melayan atau mengendahkannya.

Wanita perlu bijak menilai batas pergaulan dan tidak terlalu mudah menerima perhatian daripada rakan lelaki. Sikap tegas dalam menjaga maruah serta tidak mudah terpengaruh dengan godaan menjadikan seorang wanita lebih bernilai dan dihormati.

Setiap manusia diberi pilihan dalam setiap tindakannya, dan kita bertanggung jawab sepenuhnya atas apa yang kita pilih. Allah telah menganugerahkan kepada manusia akal dan nafsu, akal untuk menilai dan nafsu sebagai ujian. Oleh itu,  siapa yang memilih jalan ketakwaan dengan meninggalkan perkara ikhtilat ia  akan beroleh keberuntungan, manakala kalau kita kalah dengan nafsu dan memilih jalan ikhtilat maka kita akan rugi di dunia dan akhirat.

Didiklah isteri dengan bimbingan agama bukan dengan ugutan mencari kepuasan diluar

Para suami perlu memahami bahawa tanggungjawab utama mereka bukan sekadar memberi nafkah, tetapi juga membimbing isteri agar menjadi wanita yang solehah dan taat kepada perintah Allah.

Jika ada kekurangan pada isteri dalam melayan atau memenuhi kehendak suami, maka didiklah dengan cara yang penuh hikmah dan penuh kelembutan. Sifat wanita sememangnya lembut, dan jika dibimbing dengan sabar dan baik, mereka akan menurut dengan rela.

Bukan dengan cara mengugut akan melakukan perkara yang dilarang Allah. Kekerasan dan tekanan hanya akan menyebabkan hati isteri menjadi tawar, dan lebih buruk lagi, hilangnya sakinah, mawaddah, wa rahmah dalam rumah tangga.

Begitu juga dengan isteri, mereka perlu berani dan bijak menyampaikan kepada suami perkara yang boleh diperbaiki dalam hubungan rumah tangga. Komunikasi dua hala yang jujur dan beradab sangat penting dalam sesebuah perkahwinan. Ia bukan sahaja mengukuhkan ikatan kasih sayang, tetapi juga mendorong kedua-dua pihak untuk sentiasa bermuhasabah dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dalam kehidupan berumah tangga.

Menjaga maruah suami ketika di tempat kerja

Isteri yang solehah sedar akan tanggungjawabnya untuk menjaga diri dan maruah suami walaupun ketika berada di tempat kerja.

Dalam suasana kerja masa kini yang lebih terbuka, pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram sering berlaku dan sukar dielakkan sepenuhnya. Namun, Islam tidak melarang lelaki dan wanita bekerja bersama.

Sebaliknya, Islam menetapkan panduan agar hubungan kerja dijalankan dengan menjaga maruah. Tujuannya bukan untuk menyekat pergaulan, tetapi untuk melindungi kedua-dua pihak, kerana syaitan sentiasa mencari peluang ketika manusia leka.

Allah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 34

فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ

“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.”

Ayat ini menggambarkan bahawa salah satu ciri utama wanita solehah ialah menjaga kehormatan dirinya ketika suami tidak ada di sisi termasuk ketika berada di luar rumah atau di tempat kerja. Ini bukan hanya soal maruah peribadi, tetapi juga mencerminkan maruah suami dan institusi perkahwinan itu sendiri.

Dengan memelihara adab, batas pergaulan, dan menjaga pandangan, seorang isteri bukan sahaja menunjukkan ketaatannya kepada suami, tetapi juga membuktikan ketaatan kepada Allah SWT. Inilah nilai sebenar seorang wanita yang bermaruah dalam pandangan Islam.

Meluangkan masa berkualiti dengan isteri dan anak-anak

Selain memberi nafkah dan membimbing isteri, meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga selepas waktu bekerja juga adalah tanggungjawab yang dituntut dalam Islam. Jika kita renungkan, sebahagian besar masa dan tenaga harian sudah pun dihabiskan di tempat kerja. Maka, masa yang masih berbaki seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk keluarga khususnya isteri dan anak-anak.

Seorang suami perlu berusaha menjadikan rumahnya sebagai tempat isteri mendapat kasih sayang, perhatian dan ketenangan. Rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga ruang membina hubungan yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i daripada Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap sesuatu yang tidak membawa kepada mengingati Allah (zikir) adalah permainan dan hiburan semata-mata, kecuali empat perkara: lelaki yang bersenda gurau dengan isterinya, lelaki yang melatih kudanya, lelaki yang berjalan antara dua tujuan (berlumba lari), dan lelaki yang belajar berenang.”

Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa melayan isteri dengan kasih sayang dan bersenda gurau dengannya dianggap sebagai satu bentuk ibadah, dan nilainya setanding dengan latihan fizikal yang penting seperti berkuda, berlumba dan berenang, yang semuanya pernah menjadi persediaan jihad pada zaman dahulu.

Ini menunjukkan bahawa memenuhi keperluan emosi dan kasih sayang isteri bukan perkara kecil, malah ia diiktiraf sebagai amalan yang berpahala dan digalakkan dalam Islam. Suami yang bijak ialah yang seimbang antara tuntutan kerja dan tanggungjawab dalam memelihara keluarga.

Suami isteri saling ingat tanggungjawab

Akhir sekali, menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) adalah cara penting untuk melindungi hati dan memelihara keharmonian rumah tangga daripada terjerumus ke dalam maksiat seperti kecurangan.

Banyak kes curang yang berlaku sebenarnya bermula daripada pergaulan bebas yang tidak dijaga sejak awal. Oleh itu, tanamkan rasa takut kepada Allah dan fahami hikmah larangan ikhtilat sebagai benteng diri dalam dunia hari ini yang penuh dengan ujian dan godaan.

Suami perlu memainkan peranan sebagai pelindung dan pembimbing kepada keluarga, memastikan isteri sentiasa terjaga maruahnya, terutama di tempat kerja, serta mendidik keluarga dengan nilai takwa.

Manakala, isteri pula sentiasa ingat akan tanggungjawabnya menjaga maruah suami ketika berada diluar rumah dan elakkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat yang sia-sia. Rumah tangga yang dibina atas asas iman, adab, dan panduan syariat akan sentiasa berada dalam lindungan sakinah, mawaddah dan rahmah.

Aisyah binti Abdullah Zaik
Unit Kajian & Penerangan Biro Keluarga & Masyarakat ISMA

Scroll to Top