Jaga Tepi Kain Orang: Menyibuk Atau Peduli?

Negara dikejutkan dengan dua insiden tragis dalam tempoh dua hari berturut-turut. Pada 30 Jun 2025, dua mayat anak-beranak ditemui dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Pulau Pinang.

Belum pun reda kejutan itu, esoknya tiga sekeluarga pula ditemui tidak bernyawa dalam rumah mereka di Seremban, juga dalam keadaan menyayat hati.

Persoalannya, adakah masyarakat hari ini sudah terlalu sibuk dengan urusan sendiri hingga tidak lagi mengambil peduli tentang keadaan jiran tetangga?

Jika ada yang ingin ambil tahu, apakah mereka akan dilabel pula sebagai ‘penyibuk’?

Pepatah Melayu ada menyebut; “jaga tepi kain orang” sering diungkap dengan nada negatif iaitu menyindir mereka yang terlalu mencampuri urusan peribadi orang lain.

Namun dalam konteks masyarakat moden hari ini, kiasan ini wajar dinilai semula.

Mengambil tahu hal orang lain khususnya jiran terdekat bukanlah semata-mata ‘menyibuk’, tetapi suatu tanggungjawab sosial yang sangat dituntut oleh agama.

Kiasan ini juga jika difahami dalam erti kata ‘tak perlu’ jaga tepi kain orang, maka ia akan membawa kepada fahaman individualistik iaitu hidup sendiri-sendiri sahaja.

Tak perlu ambil tahu dan masuk campur urusan hidup orang lain. “Aku tak kacau kau, kau tak kacau aku”.

Benarkah pendirian sebegini? Islam mengajar kita untuk peka terhadap keadaan orang sekeliling. Sabda Nabi SAW:

“Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal ehwal orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka.” (HR al-Tabarani)

Manusia secara fitrahnya bukan makhluk yang hidup bersendirian. Kita sentiasa saling memerlukan. Islam telah menetapkan prinsip takaful ijtimāʿī iaitu saling menjaga dan bertanggungjawab terhadap kebajikan sesama insan.

Bahkan, kebajikan sesama jiran adalah antara perkara utama yang perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan keimanan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan.” ⁣ (HR al-Tabarani)⁣ 

Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa sikap tidak acuh dengan keadaan jiran tetangga adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam konteks amar ma’ruf nahi mungkar pula, jika kiasan ‘jangan jaga tepi kain orang’ ini terpakai, berkemungkinan seseorang akan mengambil pendirian buat tak tahu sahaja. Maksiat yang berlaku di depan mata tidak dicegah hanya kerana tidak mahu masuk campur hal orang lain.

Sebagai contoh, kita melihat seorang lelaki yang tidak dikenali masuk ke rumah jiran. Jika kita hanya membiarkan keadaan tersebut berlaku tanpa tindakan, nescaya kemudaratan dan kecelakaan yang besar akan berlaku.

Walaubagaimanapun, dalam menyeimbangkan keadaan ‘jaga tepi kain orang’, Islam mengingatkan agar tidak melampaui batas dalam mengambil tahu yang membawa kepada mencampuri urusan peribadi, hingga mendedahkan aibnya dan melanggar privasinya.

Apatah lagi ‘menjaga tepi kain orang’ yang melampaui batas sehingga membawa kepada ‘membawang’ atau mengumpat mengenai keaiban orang lain. Pastinya ia dilarang dalam Islam.

Maka keseimbangan itu perlu diusahakan. Prihatin tanpa melanggar privasi. Peduli tanpa menghakimi.

Justeru, agar tragedi yang menyayat hati ini tidak lagi berulang, sentiasalah jiran tetangga saling mengamalkan ‘jaga tepi kain’ dalam erti kata yang positif.

Perlu ambil tahu keadaan mereka dengan kadar yang betul. Jangan buat tak endah langsung mengenai hal mereka.

Kenali jiran-jiran terdekat. Sekurang-kurangnya tahu nama dan nombor telefon. Jika ada WhatsApp group komuniti atau taman, bersuaralah sekali sekala dan jangan hanya jadi ‘silent reader’.

Jangan sombong sesama jiran. Jika dalam kesusahan, ingatlah bahawa jiran-jiran adalah mereka yang paling hampir dengan kita.

Ingatan bersama juga kepada sesiapa yang menyangka boleh hidup bersendirian tanpa memerlukan orang lain. Insaflah kerana apabila kita meninggal dunia, kita pastinya memerlukan orang lain untuk mengebumikan kita.

Dalam dunia yang semakin individualistik ini, marilah kita kembalikan nilai peduli sesama insan demi menjaga nyawa masyarakat sekeliling.

Tidak guna jika kita terus saling salah-menyalahkan. Namun, marilah kita fokus kepada apa peranan yang boleh kita lakukan.

Jagalah tepi kain orang.

Ambil tahu dan prihatin tanpa melanggar privasi.

Peduli tanpa menghakimi.

Ustazah Dr. Nur Fatin Halil
Ketua Unit Penyelidikan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Scroll to Top