1. Ramai runsing dengan kenaikan harga ayam dan barangan asasi lain sekarang ini. Runsing dengan kenaikan semasa di satu sudut. Runsing kerana tidak boleh dijangkakan apa yang akan berlaku kepada harga barangan asasi ini di masa akan datang di satu sudut yang lain. Timbul kebimbangan berkenaan isu keselamatan makanan negara yang dilihat tidak menentu dan tidak boleh dijangka kerana ditentukan oleh banyak faktor luaran.
2. Untuk jangka pendek, penghapusan permit import (AP) untuk makanan import, penegasan harga siling dan larangan sementara mengeksport ayam mungkin boleh menyelesaikan sebahagian masalah. Tetapi saya yakin masalah lain pula akan timbul di masa mendatang jika itu sahaja jalan penyelesaian yang diambil.
3. Saya ingin melontarkan cadangan jangka panjang yang mungkin tidak popular. Kalau ada manfaat bolehlah difikirkan. Kalau tidak ada manfaat, anggap sahaja seperti cadangan-cadangan orang lain yang banyak di media sosial sekarang.
4. Pertamanya, negara perlu kembali menyemarakkan aktiviti pertanian dan penternakan. Bukan setakat ayam dan lain-lain makanan asasi, tetapi juga yang berkaitan dengannya seperti dedak dan jagung. Kebergantungan kepada sumber luar dalam mana-mana rantaian penghasilan makanan tidak akan menjadikan kita bebas dalam mengawal bekalan dan harga. jika semua sumber asli makanan dan rantaiannya ada dalam negara, maka kawalan negara terhadap makanan akan menjadi lebih baik. Kawalan itulah faktor penting yang menjamin keselamatan makanan negara.
5. Kedua, menghapuskan secara mutlak apa juga monopoli di dalam industri makanan. Monopoli subur dalam dunia kapitalis terutamanya apabila kuasa berpusat kepada satu lingkaran manusia tertentu. Monopoli dilarang secara tegas di dalam Islam kerana kemudharatannya kepada masyarakat, tetapi dunia hari ini menjelmakan monopoli di dalam pelbagai bentuk dan menjadi satu yang bersistem. Kerana nak menjamin monopoli sentiasa absah itulah akhirnya disalahkan ayam yang kononnya lambat membesar dan ayam yang kononnya kurang selera makan sebagai alasan kenapa bekalan terputus.
6. Ketiga, imbangan antara kawalan harga siling dan kebebasan penternak dan peladang untuk meletakkan harga. Dalam penetapan harga sesuatu makanan, kepentingan semua perlu diambil kira dengan saksama. Jika negara tidak dapat mengawal faktor luaran yang menaikkan harga makanan, maka beban itu perlu diurus dengan baik agar tidak ditanggung hanya oleh satu pihak sahaja. Ketidakpuasan hati dalam isu harga ayam di masing-masing pihak pembekal dan pengguna menunjukkan ia perlu diselesaikan dengan saksama dan seimbang mengambil kepentingan semua pihak.
7. Keempat, ini cadangan yang mungkin paling tidak popular. Kita perlu kembali kepada kehidupan asas yang ringkas. Dahulu kita pernah menjadikan sagu sebagai makanan asas. Rumbia boleh ditanam oleh sesiapa sahaja dan menghasilkan sagu juga adalah proses yang mudah. Kita boleh hidup dengan sayur tepi rumah dan ikan dalam parit. Dengan kompleksnya makanan kita sekarang, kita tidak rasa kenyang kecuali dengan mentega, keju, rempah ratus yang pelbagai, sayuran dan buah-buahan import dan sebagainya. Kebergantungan kepada luar semakin tinggi dalam penyediaan makanan harian kita menyebabkan kita berdepan dengan banyak masalah di luar kawalan. Kehidupan asas yang ringkas akan menjadikan kadar survival kita lebih tinggi.
Begitulah sekadar lontaran dan perkongsian …
Wallahul Musta’an