Kenyataan Media.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ingin mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menghayati slogan ‘Jati Diri Merdeka Asas Negara Unggul’ bersempena dengan Kempen Kemerdekaan ISMA 2024.
Berdasarkan kepada latar belakang sejarah, jati diri kebangsaan itu tertegak atas tiga dasar iaitu Islam sebagai asas yang menjadi nadi menyatukan bangsa Melayu dan membentuk dasar kehidupan masyarakat berbilang bangsa, kemudian identiti Melayu Islam yang merupakan gabungan nilai, adat, budaya, dan agama Islam yang membentuk jiwa dan watak masyarakat melalui cara hidup, undang-undang dan hubungan sosial, seterusnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan menjadi simbol kedaulatan negara yang membentuk identiti kebangsaan.
ISMA ingin menekankan pentingnya identiti kebangsaan yang berasaskan Melayu dan Islam sebagai teras kekuatan negara. Kemerdekaan yang sebenar bukan sekadar pembebasan dari penjajahan, tetapi juga pengiktirafan dan penghargaan terhadap nilai-nilai agama dan budaya yang membentuk jati diri bangsa. Ini sudah pun ditetapkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang meletakkan 3 Prinsip Dasar iaitu:
1. Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan bergantung tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kepentingan nasional serta asas moral dan kerohanian sejagat amnya dan pada Islam sebagai agama Persekutuan khasnya.
3. Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
ISMA juga menyakini bahawa identiti kebangsaan ini penting demi kesepaduan nasional tetapi ianya mesti dicapai melalui dua aspek iaitu hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan diterima oleh semua kaum sebagai asas kepada keamanan dan kestabilan negara. Aspek kedua adalah integrasi budaya Kebangsaan (Melayu-Islam) dalam identiti nasional Malaysia membantu mewujudkan kesepaduan di kalangan pelbagai kaum di negara ini.
ISMA melihat pada hari ini, ada perkara-perkara yang mengancam jati diri kebangsaan melalui pencairan sistem, nilai dan identiti budaya Melayu dan Islam. Secara jelas tindakan itu diterjemahkan melalui idea Malaysia sebuah negara multikulturalisme yang bercanggah dengan identiti kebangsaan. Contohnya seperti pengiktirafan makanan Bak Kut Teh sebagai hidangan Warisan Negara, cadangan pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai tapak UNESCO, penganjuran Festival Dutch Malakka yang mengangkat penjajah, Festival Georgetown yang tidak menonjolkan identiti orang-orang Melayu Islam sebagai penduduk asal serta cadangan daripada SUHAKAM untuk meratifikasi ICERD.
Jika keadaan ini berterusan akan memberikan implikasi pada identiti kebangsaan seperti:
I. Perpecahan dalam masyarakat yang akan melemahkan kestabilan politik sehingga akhirnya mewujudkan jurang kesatuan pada identiti kebangsaan lalu membuka ruang campur tangan asing.
II. Negara tidak mampu membuat keputusan yang mengukuhkan kedudukan ekonomi Melayu Islam bahkan melebihkan kepentingan elit kapitalis yang menjejaskan kemerdekaan ekonomi negara.
III. Warisan budaya yang hilang termasuk bahasa, adat, nilai-nilai tradisional yang menjadi asas identiti kebangsaan.
IV. Berlakunya perbezaan jurang antara kaum dan agama yang menggugat kesepaduan sosial disebabkan tidak menghormati identiti kebangsaan.
V. Penghakisan nilai-nilai agama dengan mengurangkan pengaruh agama Islam dalam kehidupan seharian lantas melemahkan kedaulatan Islam dalam negara.
Oleh itu ISMA menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mempertahankan warisan budaya seperti bahasa, nilai agama, adat kerana ia menyatukan kaum dan bangsa di Malaysia, mengukuhkan institusi agama agar identiti kebangsaan tetap terpelihara, memperkuatkan dasar negara yang menjadi landasan perjuangan dan menjauhi pengaruh asing dalam keputusan berkaitan hal strategik negara supaya dapat mencapai negara unggul.
Justeru itu, ISMA menganjurkan Kempen Kemerdekaan 2024 yang berlangsung dari 18 Ogos sehingga 30 September yang bermatlamat mengajak masyarakat untuk bersama-sama membangunkan negara berdasarkan acuan sendiri, bebas daripada pengaruh asing seterusnya mencapai keunggulan peradaban. Kempen ini akan digerakkan oleh 46 buah cawangan ISMA di seluruh Malaysia.
Menampilkan aktiviti utama iaitu gerakan Tukar Nama Asal yang mengenal pasti tempat, bangunan atau jalan yang mengangkat nama penjajah atau mana-mana kumpulan yang tidak mencerminkan identiti kebangsaan.
Usaha ini akan dijayakan bersama-sama sokongan penduduk dan persatuan setempat dengan penyerahan memorandum kepada pihak berkuasa tempatan untuk mendesak mengembalikan nama asal tempat yang mencerminkan identiti kebangsaan.
Aktiviti lain yang turut dirancang adalah siri-siri ceramah, wacana, sidang meja bulat yang bertemakan identiti kebangsaan, Hari Anak Muda (HARIMAU) yang mengumpulkan generasi muda yang komited untuk mempertahankan identiti kebangsaan dan juga kempen-kempen di media sosial.
ISMA ingin mendesak kepada pihak kerajaan agar bertegas dengan prinsip dasar kebudayaan negara, di mana budaya Melayu dan agama Islam sebagai tonggak identiti negara.
Akhir sekali, ISMA mengalu-alukan kerjasama semua pihak, badan-badan sivil, pihak universiti, persatuan atau NGO serta anggota masyarakat dan komuniti untuk bersama-sama menjayakan kempen ini.
Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia
18 Ogos 2024