MELAKA, 1 September 2025 – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Melaka Tengah dengan penuh semangat merdeka mengadakan Program Jejak Merdeka : Semangat Wira bersama-sama sekumpulan remaja dari PPR Krubong dan Taman Paya Rumput Perdana memulakan pengembaraan di sekitar bandar Melaka untuk menghayati erti kemerdekaan tahun ini.
Program Jejak Merdeka: Semangat Wira yang dianjurkan bukanlah sekadar ekplorasi biasa. Ia adalah sebuah perjalanan merentasi masa, sebuah usaha untuk menghayati slogan “Kenali Asal, Warisi Perjuangan”.



Perjalanan anak-anak muda berusia 11-18 tahun itu bermula di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Di sini mereka dibawa kembali ke asal usul negara ini, mengenali pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.
Setiap butiran sejarah yang diceritakan, setiap gambar yang dipaparkan, bukan hanya sekadar maklumat, tetapi adalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan nenek moyang. Momen itu adalah detik pertama mereka mengenali asal.
“Dengan seni dan binaan yang teliti dan kreatif sebegini, mana mungkin ini kerja orang yang malas, orang Melayu tidak malas!” jelas fasi sambil menunjukkan binaan zaman Empayar Melayu Islam Melaka.
Di bawah bayangan istana yang megah, mereka belajar tentang kehebatan Empayar Melayu Islam. Mereka membaca tentang ketajaman minda Laksamana Hang Tuah dan kegagahan pahlawan-pahlawan lain yang mempertahankan kedaulatan.
Dalam hati-hati kecil itu, semangat juang mula berputik, menyedarkan mereka bahawa kehebatan itu adalah sebahagian daripada warisan mereka yang perlu dipertahankan. Ini adalah permulaan mereka mewarisi perjuangan.


Sepanjang perjalanan ke A’Famosa dan Bangunan Stadhuys, mereka bergegas mencari jawapan yang tersembunyi. Soalan-soalan tentang sejarah penjajahan dan perjuangan melawan penindasan membawa mereka lebih dekat kepada makna sebenar kemerdekaan. Setiap soalan yang dijawab, setiap cabaran yang dilalui, mengajar mereka bahawa kemerdekaan ini bukanlah hadiah, tetapi hasil keringat dan darah pejuang.
Di puncak Bukit Melaka, mereka mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan. Ia bukan lagi sekadar bendera, tetapi simbol perjuangan yang telah mereka fahami. Senyuman lebar terukir di wajah mereka, menunjukkan bahawa semangat perjuangan itu telah menyatu dalam jiwa.
“Kapal Flor de La Mar ni dibina mengikut skala asalnya, tapi cuba lihat gambar Jong Melayu ni yang berlipat kali ganda besar,” fasi menunjukkan gambar Jong Melayu ketika di Kompleks Muzium Samudera. Betapa hebatnya orang Melayu serba-serbi.
Terinspirasi, kertas A4 yang diberikan kepada mereka yang pada mulanya kosong, dilipat menjadi kapal yang unik, lambang harapan dan kreativiti mereka. Ada kapal yang siap ada meriam.
Sama seperti kapal yang belayar merentasi lautan, mereka kini bersedia untuk berlayar ke masa hadapan, berbekalkan ilmu dan semangat perjuangan yang telah mereka warisi.
“Kenali Asal, Warisi Perjuangan” bukanlah sekadar kata-kata. Ia adalah satu tindakan. Ia adalah pengalaman. Ia adalah satu janji yang perlu disemat kukuh dalam hati setiap anak muda hari ini dalam menjadikan mereka pewaris sebenar perjuangan agama, bangsa, dan tanah air.