1. Judi dan segala bentuk perbuatan yang sewaktu dengannya adalah punca kemunduran negara dan kerosakan masyarakat.
2. Orang yang menghidupkan judi mendakwa dia menjana kitaran ekonomi yang akhirnya akan menguntungkan negara juga melalui cukai dan sumbangannya.
3. Banyaknya keuntungan daripada perbuatan yang kotor hanyalah menyebabkan negara menuju ke arah kehancuran.
4. Seorang tauke judi menjadi philanthropist dan menderma ke sekolah untuk menunjukkan dia membina masyarakat yang baik. Pelajar dari sekolah itu kemudiannya keluar dari sekolah dan mengejar harta dengan berjudi. Kitaran ini kekal berpusing dan berkembang lagi ke pelbagai bentuk.
5. Adakah akan wujud sebuah masyarakat yang maju dan progresif dalam keadaan masyarakatnya mencari harta dengan nasib, taruhan dan perolehan keuntungan daripada kebodohan manusia? Mustahil.
6. Dari judilah lahirnya kitaran kerosakan baru dalam bentuk pergaduhan, pelacuran, rasuah, dan pengkhianatan pemimpin.
7. Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Ma’idah: 90).
8. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Al-Ma’idah: 91).
9. Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Ma’idah: 100).
10. Negara dan masyarakat yang benar-benar maju ialah yang bebas daripada segala bentuk kebodohan seperti judi dan rasuah. Ia membebaskan masyarakatnya dengan cara mendidik yang belum terjebak, mencegah dan menegur yang sedang terjebak, dan memerangi serta mengusir keluar mereka yang mendalangi dan degil.
11. Orang yang menghidupkan judi dan memperbesarkan ‘industri’ ini dalam negara adalah syaitan yang berwajah manusia.
Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Aktivis ISMA Bangi