Kajian Tempatan ISMA Sepang: 93 Peratus Remaja Sekolah Menengah Terjebak Dengan Pornografi

SEPANG, 19 Nov- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Sepang telah mengadakan satu kajian lapangan bagi mengenalpasti keperluan dakwah masyarakat setempat. Hasil tinjauan soal selidik mendapati 93 peratus remaja sekolah menengah terjebak dengan pornografi. 

Manakala hanya 25 peratus remaja sekolah menengah yang sempurna solat 5 waktu. 

Menurut Presiden ISMA Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan, ini fakta dan realiti semasa yang berlaku dalam masyarakat dan semakin merebak, jika dibiarkan akan menghancurkan masa depan negara. 

“Contohnya masalah remaja terjebak dengan pornografi, bayangkan apa kesan pada mereka apabila telah dewasa dan berkahwin,” katanya ketika sesi Townhall ISMA Sepang kelmarin. 

Ujarnya perubahan perlu berlaku, jika dibiarkan tanpa sebarang intervensi boleh menjadi parah.

“Bayangkan trend ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Siapa yang nak selesaikan isu ini?

“Cara untuk mengatasi isu ini dengan berkesan adalah dengan mengupayakan komuniti menjadi Ummah Fadhilah. Setiap ahli perlu bersama-sama masyarakat memikirkan jalan terbaik menangani isu ini. 

“Kita yakin masyarakat kita ada potensi membangun Ummah Fadhilah dan menerapkan agenda Islam dalam masyarakat,” katanya.

Tambahnya pembangunan masyarakat Ummah Fadhilah adalah nukleus penting dalam menjayakan agenda Islam.

Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan tetapi perubahan harus dilakukan. Usaha sinergi daripada pelbagai pihak amat dialu-alukan.

Scroll to Top