Karbohidrat : Keperluan atau Kehendak

Oleh: Wan Nurul Nadiah Binti Wan Rosdan

Piramid Makanan Malaysia 2020 membawa perubahan yang besar kepada diet pemakanan rakyat Malaysia. Antara perubahan yang ketara pada piramid makanan ini ialah kedudukan aras dan kuantiti kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kumpulan karbohidrat. Persoalannya, mengapakah kuantiti karbohidrat dikurangkan dalam piramid makanan yang terbaru ini?

Karbohidrat merupakan kumpulan makanan yang unit teringkasnya ialah glukosa. Secara umumnya, pengambilan makanan yang tinggi karbohidrat menyebabkan paras glukosa dalam darah meningkat. Apabila glukosa dalam darah meningkat, badan akan merembeskan hormon insulin untuk menurunkan semula paras glukosa di dalam darah supaya menjadi normal. Proses ini dikenali sebagai Homeostasis.

Homeostasis adalah keupayaan badan atau sel untuk mengembalikan persekitaran dalaman badan (suhu, pH, kandungan air) kepada keadaan normal. Apabila kandungan glukosa di dalam darah meningkat (hiperglikemia), pankreas akan merembeskan hormon insulin ke dalam aliran darah. Hormon insulin akan menurunkan paras glukosa di dalam darah dengan meningkatkan kadar pengambilan glukosa oleh hati dan menyimpannya sebagai glikogen. Sebaliknya, apabila kandungan glukosa dalam darah menurun (hipoglikemia), pankreas akan merembeskan glukagon untuk meningkatkan kadar hidrolisis glikogen di dalam hati untuk ditukar semula kepada glukosa untuk dijadikan sumber tenaga.

Walau bagaimanapun, apabila usia seseorang meningkat, kadar metabolisme badan akan menurun dan berlaku perubahan dan ketidakstabilan hormon. Oleh itu, diet seseorang perlu berubah bersesuaian dengan keadaan tubuhnya. Jika kita perhatikan, ramai warga emas bahkan golongan belia yang menghidap penyakit kencing manis.

Pada 2019, Malaysia mengungguli carta dengan mencatatkan pesakit kencing manis yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 67% diikuti oleh Singapore dan Mexico.

Hal ini adalah kerana tiada perubahan yang dilakukan terhadap pengambilan makanan kumpulan karbohidrat dalam diet seharian rakyat Malaysia.

Hormon insulin yang dihasilkan oleh tubuh tidak cukup untuk menampung lebihan glukosa yang ada dalam darah disebabkan pemakanan kita. Hal inilah yang menyebabkan seseorang boleh menghidap penyakit kencing manis.

Sebagai contoh, sebuah bagasi digunakan untuk memuatkan pakaian mengikut kapasitinya. Jika pakaian yang dimasukkan itu melebihi kapasiti bagasi tersebut, sudah pasti zip bagasi itu tidak dapat ditutup dan bagasi itu tidak dapat berfungsi dengan baik.

Kita ibaratkan pakaian itu seperti kandungan glukosa di dalam darah manakala kapasiti bagasi itu sebagai kandungan hormon insulin yang dapat dirembeskan oleh pankreas.

Itulah yang terjadi kepada badan kita apabila mengambil karbohidrat dalam kuantiti yang banyak tetapi insulin yang ada sudah tidak cukup untuk menampungnya lantas mengakibatkan kandungan glukosa yang tinggi secara berterusan yang membawa kepada kencing manis.

Oleh itu, perubahan kuantiti karbohidrat di dalam piramid makanan terbaru ini merupakan satu langkah positif kepada perubahan diet rakyat Malaysia. Pengambilan karbohidrat merupakan suatu keperluan kepada badan dalam mengekalkan tenaga seharian tetapi apa yang perlu diambil perhatian adalah kuantitinya dalam pemakanan kita.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat