Karnival Keluarga Muslim Fokus Isu Ketagihan Gajet Dalam Kalangan Kanak-Kanak

SANDAKAN, 11 Januari – Isu ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak menjadi fokus utama Karnival Keluarga Muslim 2.0 yang berlangsung di Masjid Nurussyakirin, Indah Jaya.

Program yang berjaya menghimpunkan lebih 40 orang peserta itu dianjurkan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam era digital yang semakin mencabar.

Antara pengisian utama karnival ialah Forum Keluarga bertajuk “Anak Ketagih Gajet, Salah Siapa?” yang menampilkan Ustaz Zaidi bin Mohamad Jalil, Guru MRSM Tun Muhammad Fuad Stephens dan Cikgu Syalena Afifie binti Shaleh, Guru SK Sungai Anib 2 sebagai panel jemputan.

Dalam forum tersebut, Ustaz Zaidi menekankan kepentingan penanaman asas tauhid dalam diri anak-anak supaya mereka sentiasa sedar bahawa Allah Maha Melihat, sekali gus membentuk kawalan diri yang kukuh. 

Beliau turut berkongsi pendekatan praktikal melalui akronim GAJET iaitu G – Garis panduan; A – Awasi kandungan; J – Jadi teladan; E – Edukasi anak-anak; T – Tegas sebagai panduan ibu bapa dalam mengurus penggunaan peranti digital oleh anak-anak, merangkumi penetapan garis panduan, pemantauan kandungan, menjadi teladan, mendidik anak-anak dan bersikap tegas apabila perlu.

Sementara itu, Cikgu Syalena menegaskan peranan penting ibu bapa dalam membina komunikasi yang berkesan serta penglibatan aktif dalam kehidupan seharian anak-anak bagi memastikan keseimbangan emosi dan perkembangan sahsiah yang sihat.

Selain forum, karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti sukaneka keluarga serta pelbagai gerai jualan yang memberi peluang interaksi santai antara ahli keluarga dan komuniti setempat.

Pengarah Program, Wan Nurul Nadiah Binti Wan Rosdan berharap penganjuran program seumpama ini dapat menyokong pembentukan institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera, seterusnya melahirkan masyarakat yang kukuh berteraskan nilai Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.

Scroll to Top