Generasi kini
Duduknya Melayu,
Pakainya Melayu,
Sayang cara fikirnya batil,
Gaya hidupnya liberal,
Jati dirinya murah dijual.
Generasi kini
Bijak pandainya bukan kepalang,
Ditutur seantero gah nan terbilang,
Sayang hidupnya hanya untuk diri seorang,
Impian membina tamadun jauh ditinggalkan,
Ruh perjuangan terkambus,
Bersama catatan sejarah pahlawan.
Generasi kini
Hilang Maruah, Izzah dan Haibah,
Nakhoda bahteranya bertukar tangan,
Walau tinggi duduknya,
Minda dan jiwanya rendah,
Kalah dalam bayang acuan penjajah,
Hanyut dalam alur cerita musuh Allah
Duhai Generasi kini
Tanah ini menyeru kebangkitan kalian,
Kiri kananmu di ulit kejahatan,
Jati diri pejuang Melayu harus dikembalikan,
Menebus semula sebuah kedaulatan,
Teruslah melangkah,
Sisipkan pada jiwa,
Menjulang risalah itu sebuah kemuliaan.
Nukilan,
Ustazah Abiidah bt Fadzlan Shahidi
Ahli Majlis Ulama ISMA
ISMA Bangi