68 dahulu, lahir sebuah negara baharu yang diberi nama Persekutuan Tanah Melayu. 6 tahun kemudian, nama itu berubah menjadi Malaysia. Namun sebelum 1957, tanah air ini bukanlah bermula kosong. Ia sudah pun memiliki sejarah, adat, budaya, bahasa dan legasinya sendiri.
Penjajah cuba melakukan ‘reset’ terhadap semua ini melalui kemerdekaan yang mereka “beri”, setelah yakin kepentingan mereka tetap terpelihara. Sebahagian sistem yang mereka tinggalkan masih kekal dalam “sijil lahir” negara (Perlembagaan Persekutuan). Sebelum merdeka, beberapa identiti teras seperti kuasa Sultan Melayu dan kewarganegaraan automatik warga asing yang dicadangkan Malayan Union, telah ditentang habis-habisan oleh generasi terdahulu. Mengapa mereka bangkit menentang? Kerana mahu memastikan identiti tanah air ini terus kekal.
Maka hari ini, jika ada suara yang mengatakan kita tidak perlu bersungguh mempertahankan identiti yang sudah pun termaktub dalam perlembagaan atas alasan memelihara perpaduan kaum, persoalannya atas dasar apa lagi kita mahu sepakat jika bukan perlembangaan negara. Identiti apa yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang?
Apa dosanya mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan? Apa salahnya memelihara Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang harus diutamakan? Bukankah Melayu dan Islam telah menjadi teras identiti tanah ini sejak 500 tahun dahulu, jauh sebelum datangnya penjajah?
Meraikan orang lain tidak pernah bermaksud menggadaikan identiti. Kita bangsa yang terkenal dengan sifat meraikan kepelbagaian, mendahulukan perasaan orang lain supaya tiada yang terluka. Namun identiti asal kita, iaitu Melayu dan Islam, tidak boleh digadaikan. Kaum lain pasti faham bahawa identiti dan kebudayaan asal yang berakar selama 500 tahun tidak boleh lenyap begitu sahaja, apatah lagi di tanah air asalnya. Dalam masa yang sama, mereka tetap bebas mengamalkan budaya masing-masing.
Lontaran untuk kita semua fikirkan, identiti apakah yang mahu kita wariskan kepada anak cucu kita? Dalam sebuah keluarga pun, jika seorang anak berdarah campuran tetap akan didaftarkan mengikut bangsa dominan dalam jalur leluhur keluarganya. Dalam borang rasmi, hanya satu bahasa pertuturan utama ditulis walaupun anak tersebut fasih berbilang bahasa. Begitu juga dengan agama, hanya satu agama dipilih, bukan kerana mencela agama lain, tetapi kerana itu asas identiti dirinya.
Demikian juga Malaysia. Kepelbagaian kaum bukan alasan untuk mengubah identiti asal tanah air ini kepada kepelbagaian identiti yang akhirnya mengelirukan. Identiti itu telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Malaysia. Maka, perpaduan dan taat setia kepada negara hanya akan teguh jika dibina di atas identiti yang telah disepakati oleh datuk nenek kita terdahulu.
Inilah warisan perjuangan. Inilah amanah yang mesti kita teruskan.
Mohd Nasrul Muhaimin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA