Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut setiap tahun, ramai yang membahas isu sudah merdeka atau masih dijajahkah negara kita? Namun saya lebih cenderung untuk memperkatakan tentang mengapa negara kita masih boleh terjajah walaupun telah 63 tahun mencapai kemerdekaan.
Mana-mana negara mampu membebaskan diri dari penjajahan atau mempertahankan kemerdekaannya jika, negara tersebut kuat memelihara identiti dan jatidirinya. Jika berlonggar dari aspek penjagaan identiti, tidak mustahil negara tersebut akan kembali terjajah walaupun telah lama merdeka. Negara tersebut akan mudah ditelan oleh ideologi dan identiti kuasa besar dunia.
Apa itu identiti negara? Identiti negara adalah imej kebangsaan dan prinsip pegangan setiap warganegara. Identiti ini terdiri dari aspek luaran dan dalaman.
Jika merujuk secara individu, identiti luaran ini adalah cara berpakaian, stail penampilan rambut, bahasa pertuturan dan sebagainya. Begitu juga pada negara Malaysia, identitinya yang mudah dilihat antaranya bendera Jalur Gemilang, jata negara dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang menjadi medium pertuturan dan penulisan rasmi seluruh warganegara. Sistem Raja berpelembagaan juga menjadi simbol pemerintahan tertinggi negara
Bagi identiti dalaman pula, setiap individu ada agamanya, ada prinsip, nilai dan akidah kepercayaan yang menjadi pegangan kehidupan. Pada negara Malaysia, ada agamanya. Islam sebagai agama persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam perlembagaan.
Walaupun tidak mengahalang amalan agama lain, namun tidak bermakna taraf agama Islam sama dengan agama-agama yang lain. Pada sisi identiti yang lain, Malaysia memberi keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera yang lain. Bukan kerana menindas kaum lain, tetapi mengiktiraf sejarah kontrak sosial yang diterjemahkan dalam perlembagaan.
Maka pertahankanlah identiti dan jatidiri negara Malaysia supaya tidak mudah dirobek atau dijajah!
Ir. Mohd Nasrul Muhaimin
Yang Dipertua
Isma Cawangan Dungun