TAIPING, 15 Mac – Ramadan bukan alasan untuk bermalas-malasan, sebaliknya medan terbaik untuk umat Islam berlumba-lumba melakukan kebaikan dan merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Semangat inilah yang diterjemahkan oleh 30 orang kanak-kanak yang memanfaatkan cuti hujung minggu mereka dengan menyertai Kem Ramadan anjuran Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) Taiping yang berlangsung di Surau Nurul Iman, Kampung Tekah Tambahan baru-baru ini.
Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Ihya Ramadan bertemakan “Seronoknya Sambut Ramadan” yang telah diadakan pada Februari lalu.
Dalam usaha menyemai amalan baik sejak kecil, para peserta turut dibekalkan dengan sebuah buku khas berjudul Catatan Ramadan Saya yang berfungsi sebagai panduan dan galakan untuk mereka melaksanakan pelbagai amalan kebaikan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Pengarah Program, Norashikin Ghazali, Ramadan bagi kanak-kanak merupakan satu bentuk perjuangan yang memerlukan sokongan dan dorongan yang berterusan.



“Kita sedia maklum bahawa mengharungi Ramadan adalah satu perjuangan yang hebat untuk anak-anak. Masa dirasakan amat panjang dan lambat berlalu.
Tambahan pula, generasi hari ini cenderung mengisi masa dengan gajet. Justeru, buku panduan yang dibekalkan ini dapat membantu mereka mempelbagaikan aktiviti harian yang bermanfaat. Hari ini kita meraikan dan menghargai setiap usaha kecil mereka dalam menempuh Ramadan,” jelas beliau.
Seorang ibu kepada peserta, Anis Sakinah Zakaria, turut berkongsi keterujaan anak-anak yang terlibat dalam program tersebut.
“Anak-anak sangat teruja membantu menyiapkan juadah berbuka dan menyantuni jiran dalam pelbagai cara bagi memenuhi tugasan yang disenaraikan dalam buku Catatan Ramadan Saya. Mereka berusaha menjadi ‘Hero Ramadan’ dengan melakukan pelbagai kebaikan,” katanya.
Selain memupuk amalan harian yang positif, kem ini turut memberi penekanan kepada penghayatan peristiwa Nuzul Quran yang menjadi titik permulaan perubahan besar dalam sejarah umat Islam.
Menurut Norashikin lagi, penurunan al-Quran merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak dan berperadaban.


“Penurunan al-Quran adalah permulaan kepada perubahan masyarakat yang berakhlak dan berperadaban. Masyarakat yang menjauh daripada al-Quran akan menuju kepada kehancuran.
“Oleh itu, kita mengambil inisiatif untuk menyemai benih-benih cinta kepada Al-Quran dalam diri anak-anak ini kerana merekalah pewaris generasi hadapan yang bakal memimpin ummah,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang bertadarus bersama rakan sebaya sambil saling mendengar dan memperbetulkan bacaan masing-masing. Mereka juga menunjukkan kreativiti dan kerjasama apabila berjaya menyediakan juadah pencuci mulut untuk berbuka puasa, iaitu puding trifle, dengan bimbingan para fasilitator.
Kem Ramadan ini bukan sahaja menceriakan hujung minggu para peserta, malah menjadi platform bermakna untuk menyemai nilai kasih kepada Ramadan, cinta kepada Al-Quran dan semangat beramal sejak usia muda.


