TEMERLOH, 28 Disember – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Temerloh dengan kerjasama Masjid Al-MuthmainnahTaman Bunga Raya telah mengadakan Kem Smart Solat pagi tadi yang dihadiri seramai 65 orang peserta berumur dari 11 hingga 15 tahun.

Program berteraskan penghayatan ibadah solat itu bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai kepentingan wuduk dan solat yang sempurna sebagai asas pembentukan jati diri seorang Muslim.
Menurut pengarah program, Ustaz Shahrunizam Mohammad, pengisian kem dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu penguasaan teori dan latihan praktikal. Slot teori solat telah disampaikan oleh Ustaz Ashraf Najmi yang menekankan kefahaman rukun, syarat sah serta kesalahan lazim dalam solat.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pembelajaran secara praktikal menerusi aktiviti explorace yang memfokuskan kepada wuduk dan solat, dikendalikan oleh fasilitator jemputan. Pendekatan interaktif ini bertujuan menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan mudah difahami.

“Kami berharap agar ilmu yang diperoleh sepanjang program ini dapat menjadi asas kukuh dalam kehidupan peserta, sekaligus mengukuhkan kefahaman tentang peri pentingnya solat sebagai tiang agama,” kata ustaz Shahrunizam Mohammad yang juga Yang Dipertua ISMA Temerloh.


