Malaysia hari ini telah memilih satu ikutan peradaban asing yang jauh daripada nilai setempat mahupun sejarah peradaban bangsanya yang sebenar. Walaupun hakikatnya kemerdekaan negara kita telah terbina daripada kefahaman yang benar mengenai status negara kita, mengambil kira perjuangan bangsa Melayu mempertahankan tanah air ini.
Setelah kita mengecapi kemerdekaan pada tarikh 31hb ogos 1957, perkembangan sebuah negara yang bernama Malaysia ini nampaknya secara sedar dan tidak sedar telah mengikut nilai-nilai kebaratan yang ditaja oleh Amerika Syarikat.
Adapun dasar pandang ke timur yang pernah diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak berjaya membawa kita keluar daripada kerangka kebaratan ini. Nampaknya pohon yang pernah tumbuh subur di atas akar tunjangnya yang kuat ini, telah membesar sebagai pohon lain yang gagal berkembang dengan baik disebabkan ia dengan rela hati mengkontotkan dirinya kerana suka dibayangi oleh pohon-pohon asing yang kelihatannya hebat. Padahal pohon-pohon asing itu kini telah menunjukkan wajahnya yang songsang, buruk dan merosakkan.
Siapakah diri kita dan kemanakah haluan Negara yang ingin kita tentukan? Itu sepatutnya menjadi muhasabah buat setiap pemerintah Negara ini. Kita bukanlah satu bangsa yang baru sahaja lahir pada tahun 1957. Negara kita sendiri terbina daripada sejarah peradaban bangsanya yang panjang dan gemilang.
Ianya bermula sejak 10,000 tahun yang lalu, di mana berlakunya zaman pencairan ais, ketika sebuah tanah besar bernama Benua Sunda terpecah-pecah menjadi semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan-kepulauan Melayu. Ini menjadikan kita sebagai sebuah peradaban maritim yang unggul, yang terangkum di dalamnya pelbagai aneka kerajaan-kerajaan maritim. Setiap satunya memiliki nilai budaya dan peradaban yang unik, sehinggalah pada zaman Kesultanan Melayu Islam Melaka, iaitu zaman terakhir sebelum penjajahan.
Namun kemerdekaan yang kita kecapi daripada tangan-tangan penjajah ini, masih lagi tidak dapat mengeluarkan kita sepenuhnya daripada belenggu penjajahan. Kita masih menyendengkan kepala kita pada bahu-bahu pemikiran dan nilai kebaratan, yang bukan berdiri daripada akar budaya kita sendiri.
Justeru, melihat kembali ke dalam diri kita. Apakah warisan budaya kita? Bagaimana kita ingin berkembang sebagai sebuah Negara yang unggul? Haruslah dilihat kepada akar sejarah peradaban bangsa Melayu, yang tertanam pada genetik bangsa pribuminya dan genetik Tanah Airnya berabad-abad lamanya.