Kempen BMF: Teguran buat pemimpin politik Muslim di Malaysia

Sudah lebih setahun kempen Beli Produk Muslim atau lebih dikenali sebagai kempen BMF ini berlalu. Banyak kejayaan yang telah kita, umat Islam kecapi bersama melalui kempen ini. Lebih membanggakan, ini adalah inisiatif dan gerakan rakyat sendiri.

Saya ingin memberikan sedikit teguran dan cadangan kepada ahli-ahli politik Muslim terutamanya yang sudah mendapat kuasa ini supaya istiqamah menyokong kempen ini dengan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan turut mengamalkannya bersungguh-sungguh.

Pada waktu krisis COVID-19 ini, kita bersungguh-sungguh mengagihkan sumbangan berbentuk barangan asas kepada rakyat yang memerlukan. Maka, inilah peluangnya untuk kita buktikan bahawa kita benar-benar mempraktikkan semangat BMF dengan memastikan barang-barang sumbangan tersebut adalah produk-produk Muslim atau sekurang-kurangnya dibeli dari kedai-kedai Muslim jika produk-produk Muslim tidak mencukupi.

Kita difahamkan barangan asas keluaran pengusaha Muslim seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya sudah banyak. Mereka yang bergelar wakil rakyat punyai capaian yang luas, pegawai bertugas yang cekap serta sumber yang banyak pasti tidak ada masalah untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut. Bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”.

Inilah masanya untuk membuktikan kepada rakyat yang produk-produk Muslim punyai mutu kualiti yang baik, dengan menghantar produk-produk tersebut dalam bentuk sumbangan ke pintu-pintu rumah. Lagipun, dengan berbuat demikian, kita dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil yang terjejas teruk dengan krisis ini dengan membeli dari mereka.

Rakyat sudah buktikan yang mereka sanggup bersusah payah mencari produk-produk Muslim untuk membangunkan ekonomi umat, mengapakah para pemimpin tidak mampu berbuat demikian pula? Jangan sampai rakyat kecewa dan putus harapan dengan pemimpin-pemimpin Muslim kita kerana ‘cakap tak serupa bikin’.

Semoga kita terus istiqamah membangun ekonomi umat dengan membeli produk Muslim. InsyaAllah, banyak kebaikkannya. Ameen.

Hj Aminuddin Bin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat