Kenapa bayi menggenggam tangan sejak lahir?

Saya pernah bertanya soalan ini dan emak memberitahu saya jawapan ini: Sebab dia memegang janji dengan Tuhan. Saya kurang mengerti sehinggalah saya memasuki alam persekolahan dan diajar oleh ustazah bahawa setiap daripada kita yang dilahirkan ini telah berjanji serta menyatakan kesanggupan untuk dilahirkan, maka kita pun lahir ke dunia.

Saya tidak lagi bertanya soalan ini sehinggalah saya belajar di universiti. Namun jawapan yang saya terima hanyalah terminologi medikal (Palmar Grasp Reflex) dan bukannya menjelaskan ‘kenapa’. Saya pun melupakan lagi persoalan ini sehinggalah dikurniakan anak yang ke-4, yang begitu istimewa kerana jemarinya masih menggenggam erat meskipun usianya sudah 10 bulan.

Setiap hari saya lakukan urutan rangsangan sama ada di belakang atau di atas tapak tangannya dengan harapan dia akan membuka jari-jemarinya dengan lebih banyak serta mula mencapai objek yang dilihat. Ketika ini soalan ini menerpa lagi di minda saya. Sehingga saya lakukan kajian peribadi kerana rasa ingin tahu yang mendalam.

Akhirnya saya jumpa satu artikel yang diterbitkan di Forbes, di mana perkara inj dijawab oleh pakar kanak-kanak, Dr William Adams. Jawapannya agak menarik kerana seperti saya, dia berasa ‘geram’ apabila pensyarahnya menjawab ‘Palmar Grasp Reflex’ sebab pada dia itu tidak menjawab soalan! Dr William juga berasa tidak puas hati apabila pensyarahnya mengatakan refleks ini tiada kepentingan dari sudut klinikal (No Clinical Importance) – (mungkin sekarang dah ada kajian lebih banyak yang boleh menyangkal kenyataan ini). Dr William memulakan jawapannya dengan menyebut tidak ada apa-apa yang ditakdirkan oleh ‘Mother Nature’ adalah sia-sia.

Saya terus tersenyum kerana apa yang disebut ini selari dengan kefahaman kita sebagai seorang muslim, cuma kita tidak meletakkan ‘Mother Nature’ sebagai penyebab segala kejadian. Bahkan Allah SWTlah yang telah menciptakan segala sesuatu dengan penuh teliti dan sempurna. Namun, memahami tabiat kebanyakan pakar dan saintis Barat ialah Atheis/mempercayai Mother Nature berbanding Tuhan/Pencipta Yang Esa, saya teruskan pembacaan.

Dr William menghuraikan dengan panjang lebar bagaimana refleks tersebut mampu melindungi bayi daripada mencarikkan kantung rahim (dan tidak hanya sekadar satu refleks primitif yang terhasil kerana sistem otak yang belum matang). Sekiranya jemari bayi mencalarkan sedikit sahaja dinding rahim, itu sudah cukup untuk merembeskan hormon dan bahan kimia serta proses tindak balas yang boleh mengancam nyawanya termasuk berlaku keguguran/kelahiran pramatang. Dr William turut berpendapat, sindrom ‘Amniotic Band’ mempunyai perkaitan dengan kanak-kanak yang tidak memiliki ‘Palmar Grasp Reflex’. Sindrom ini menyebabkan kanak-kanak dilahirkan dengan bahagian-bahagian tertentu badan kudung atau hilang kerana sebahagian daripada serat dinding rahim yang tertanggal (mungkin kerana dicakar/sebab jemari yang tidak tergenggam) membaluti bahagian badan tersebut dan menyebabkan fenomena kudung (amputation).

Menarik sudut pandang beliau dan saya juga ada membaca beberapa lagi artikel yang menerangkan kepentingan refleks ini untuk bayi mengenggam barang/jari ibu dan juga dapat digunakan sebagai signal bila lapar (contoh makin kuat genggaman) selepas lahir. Yang pasti, pakar kanak-kanak juga dapat menggunakannya sebagai satu petanda aras sama ada kanak-kanak ini normal atau istimewa. Seperti anakanda saya, dia masih mengenggam erat jemarinya walaupun selepas 6 bulan, maka dia pastilah seorang yang cukup istimewa. Tidak mustahil juga kerana dia belum mahu melepaskan (melupakan) janjinya kepada Allah SWT.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat