KENYATAAN BERSAMA MAHASISWA MALAYSIA
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada Menteri serta Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
Seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri pada tarikh 10 April 2020, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 28 April 2020
Justeru, kami mengusulkan langkah-langkah berikut untuk untuk dipertimbang oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.
1. Menyediakan pengangkutan khas bagi membawa pulang para mahasiswa dari universiti ke negeri masing-masing secara berperingkat melalui kerjasama strategik pihak KPT, universiti dan kerajaan negeri sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
2. Mencadangkan untuk pihak KPT dengan kerjasama universiti dan kerajaan negeri memberikan subsidi untuk menampung sebahagian kos pengangkutan. Caj pengangkutan perlu diletakkan pada harga yang munasabah. Lebih baik jika kos pengangkutan ditampung sepenuhnya tanpa caj bayaran kepada mahasiswa.
3. Mengesyorkan setiap mahasiswa yang berada dalam kampus untuk melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum proses penghantaran mahasiswa dilaksanakan. Pelajar yang didapati positif Covid-19 tidak dibenarkan pulang dan dihantar untuk proses kuarantin.
Walaupun mahasiswa yang berada di kampus sudah lebih daripada tempoh kuarantin yang disarankan, sebagai langkah berjaga-jaga usaha ini wajar dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang risiko yang mendatang.
4. Jika rumah mahasiswa berada di kawasan merah atau “red zone” kami serahkan kepada kebijaksanaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan pergerakan mahasiswa yang di bawa pulang mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan MKN.
5. Memastikan kebajikan makan minum, kesihatan mental dan fizikal para mahasiswa di universiti terus dijaga sebelum mereka dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
6. Melibatkan wakil mahasiswa secara langsung dalam proses perbincangan dan pembuatan keputusan melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi peringkat KPT dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Kesatuan Mahasiswa (KM) di peringkat universiti.
Kami juga sudi memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen kepada KPT dalam membantu pihak kementerian dalam memastikan kelancaran perlaksanaan menghantar mahasiswa pulang ke rumah.
Kami menyeru para mahasiswa agar bertenang berikutan perkembangan terkini wabak Novel Coronavirus (Covid-19). Para mahasiswa dinasihatkan terus mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan ini.
Kami juga menzahirkan kesediaan kami untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara. Semoga Malaysia kembali bebas daripada wabak COVID-19 ini agar kehidupan seharian kita dapat kembali normal.
KENYATAAN BERSAMA:
• Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
• Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS)
• Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
• Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI)
• Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS)
• Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa)
• Kesatuan Perwakilan Mahasiswa Malaysia (KPMM)
• Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
• Gerakan Pembebasan Akademik (GPA)
• Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM)
• Mahasiswa AMANAH Nasional
• Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa)
• Nadi Mahasiswa Malaysia
• Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Dikeluarkan pada : 10 April 2020