KENYATAAN MEDIA : ISMA Serah Sumbangan Tajaan Anak Yatim Covid-19 Bernilai RM 30 Ribu

KENYATAAN MEDIA

ISMA Serah Sumbangan Tajaan Anak Yatim Covid-19 Bernilai RM 30 Ribu

1. Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini menyerahkan sumbangan kepada lapan orang daripada 22 orang anak-anak yatim Covid-19 tajaan ISMA di Johor Bahru yang terdiri daripada seorang murid sekolah menengah, empat sekolah rendah dan tiga lagi berusia bawah 5 tahun.

2. Sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM4000 bagi perbelanjaan duit poket harian persekolahan anak-anak untuk tempoh setengah tahun kedua sesi persekolahan 2022/23 dan juga perbelanjaan kos sara hidup. Sumbangan pertama telah diagihkan pada Mac lalu untuk setengah tahun pertama persekolahan.

3. Selain sumbangan wang tunai, anak-anak ini juga ditaja untuk mengikuti program-program pembangunan sahsiah dan jati diri yang dianjurkan secara berkala oleh Biro Keluarga dan Masyarakat di bawah Kelab Anak-Anak Hebat Nazim.

4. Setakat ini sebanyak RM 30 ribu telah diagihkan kepada 22 orang anak yatim bagi menampung perbelanjaan persekolahan dan sara hidup mereka.

5. Sumbangan ini adalah dari Tabung Anak Yatim Covid-19, yang telah dilancarkan pada November lalu. Objektif utama mewujudkan tabung ini adalah bagi memberi bantuan kewangan kepada kanak-kanak ini untuk meneruskan persekolahan sehingga berumur 17 tahun, meringankan kos sara hidup anak-anak yatim dan memberi sokongan emosi dan semangat kepada mereka melalui program-program motivasi secara berkala agar kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

6. ISMA juga akan menambah lagi bilangan anak-anak yatim Covid-19 untuk ditaja bagi membantu mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik menerusi bantuan perbelanjaan persekolahan dan sara hidup.

7. ISMA turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada badan korporat, syarikat swasta atau individu yang telah menyumbang ke tabung ini bagi menjayakan projek ini yang julung kali diadakan sebagai salah satu usaha Isma selaku gerakan Islam yang mahu menyuburkan budaya takaful dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Hajah Asma Ahmad
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA
17 September 2022

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat