KENYATAAN MEDIA : Kerajaan Masih Tiada Kekuatan Dalam Mengawal Penularan Covid19

KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Masih Tiada Kekuatan Dalam Mengawal Penularan Covid-19

Dengan pengumuman rasmi kerajaan yang dikeluarkan pada 27 Jun 2021 melalui kenyataan media oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato Seri Ismail Sabri, Isma mengeluarkan kenyataan berikut:

1. Kerajaan dilihat sudah tidak ada idea baharu dan tiada kekuatan kehendak yang boleh mengawal penularan Covid-19. Pelan yang dicadangkan hanyalah ulangan kepada pelan yang diumumkan pada 15 Jun yang lepas yang sudah pun terbukti gagal.

2. Pemerkasaan Op BENTENG dan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemeriksaan SOP di tempat awam tidak akan menatijahkan hasil baru selagi tiada keputusan tegas dibuat terhadap kluster kilang yang sudah terbukti menjadi penyumbang terbesar kepada kluster jangkitan sehingga mencapai 5000 kes hampir setiap hari. Keletihan yang melanda petugas barisan hadapan dengan pengurusan kes yang tidak menunjukkan tanda akan turun ini sudah berada di hujungnya. Tidak pasti ia boleh bertahan selama berapa lama lagi.

3. Oleh itu, kerajaan dimohon agar tidak tunduk kepada desakan pemodal mahupun taikun perniagaan yang memaksa kilang dan tempat bekerja beroperasi seperti biasa.

4. Di samping itu, kerajaan juga terbukti gagal mengemukakan pelan kebajikan rakyat yang dapat meringankan tekanan rakyat akibat kesempitan hidup hasil dari sekatan aktiviti ekonomi dan sosial yang dijalankan secara semberono tanpa kajian. Tidak nampak juga satu usaha serius dari pihak kerajaan untuk berunding dengan pihak bank dan pihak lain untuk menyediakan pelan bantuan asas kepada rakyat sekurang-kurangnya seperti yang dilakukan ketika PKP 1.0 tahun lepas.

5. Pilihan yang ada kepada rakyat pada ketika ini adalah menjaga diri mereka sendiri, ahli keluarga dan komuniti di sekeliling mereka. Dengan itu, Isma menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menumpukan usaha berikut:

a. Sentiasa meletakkan keutamaan terhadapa keselamatan diri, keluarga dan masyarakat dalam apa juga keadaan. Ambillah apa juga langkah yang boleh bagi memastikan keselamatan fizikal dan emosi sepanjang pandemik Covid-19 ini.

b. Jangan ambil apa-apa tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan seperti seruan untuk menyertai Hartal Doktor Kontrak dan yang seumpamanya kerana ia hanya akan menyebabkan sistem kesihatan negara yang tidak stabil.

c. Menghidupkan budaya saling membantu samada individu atau pertubuhan sosial dalam masyarakat. Bila kerajaan sudah tidak mampu menjaga kebajikan rakyat, kewajipan itu sudah berpindah ke atas bahu rakyat. Maka menjadi kewajipan pimpinan masyarakat seperti pimpinan pertubuhan sosial bukan kerajaan, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa masjid, surau dan sebagainya untuk menggerakkan agensi masing-masing dalam membantu meringankan beban rakyat.

d. Bersedia dari sekarang untuk membuat pilihan terbaik dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memilih pemimpin negara yang mempunyai hati perut dan boleh disandarkan nasib dan harapan. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali dan jangan terjerumus ke lubang biawak buat kesekian kali.

Moga Allah merahmati kita semua dan memberikan belas ihsanNya kepada semua di dalam menanggung musibah ini.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Isma
28 Jun 2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat