KENYATAAN MEDIA : Membangunkan Ummah Fadhilah Menuju Malaysia Kuat, Maju dan Berdaulat

KENYATAAN MEDIA
Membangunkan Ummah Fadhilah Menuju Malaysia Kuat, Maju dan Berdaulat

Sempena sambutan 25 tahun Jubli Perak penubuhan dan Mesyuarat Agung Perwakilan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ke-18, ISMA memperkenalkan tema ‘Bersama-sama Membangunkan Peradaban’ yang bakal diangkat dalam perjalanan seterusnya sebagai sebuah pertubuhan Islam di Malaysia.

ISMA mengangkat tema peradaban kerana, mahu mengembalikan ingatan dan semangat kepada ganerasi baharu tentang kehebatan Peradaban Melayu-Islam Melaka yang pernah dicapai, seterusnya bersama-sama membangunkan peradaban mengikut acuannya tersendiri.

ISMA berhasrat agar negara mencapai status Malaysia Unggul 2040 (MU2040) iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat.

Sebagai sebuah pertubuhan Islam, tanggungjawab membangunkan semula peradaban ini tidak boleh dipikul oleh ISMA sahaja, tetapi seluruh gerakan dakwah yang lain.

Bagi mencapai sasaran tersebut, banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh negara, ISMA mahu mengambil peranan yang paling asas iaitu pembinaan ummahnya.

Negara yang kuat, maju dan berdaulat mesti mempunyai ummah yang tinggi nilai dan bertamadun. ISMA namakan sebagai ummah fadhilah yang bercirikan; beragama dalam pegangan, pemikiran dan amalan (ruh tadayyun), kebersamaan dalam membangunkan ummah melalui pembinaan institusi sosial, pempengaruh yang berani dan berwibawa (qudwah hasanah), bermaruah dan izzah membangunkan peradaban Islam, bersatu padu dan bermuafakat membina kekuatan (bunyan marsus), ummah pencipta yang merintis kemajuan, ummah dengan hidup yang berkualiti – sihat, sejahtera dan produktif, akhir sekali berdikari dan bebas pengaruh asing (kemandirian).

Beragama dalam pegangan, pemikiran dan amalan (ruh tadayyun) bermaksud, ummah yang terdidik, sentiasa merujuk dan patuh kepada agama dalam segenap aspek kehidupan. Aspek ini juga merangkumi identiti dan perlambangan Islam seperti senibina bangunan, pakaian dan tulisan.

Kemudian, kebersamaan dalam membangunkan ummah melalui pembinaan institusi sosial adalah ummah yang mengaktifkan institusi-institusi sosial dalam masyarakat seperti masjid, surau, kelab, pertubuhan, persatuan penduduk dan sebagainya bekerjasama melakukan aktiviti-aktiviti agar institusi sosial ini menjadi pemangkin kepada kesatuan ummah. Kita mahu menghilangkan sifat individualistik yang menjadikan masyarakat kita lemah dan rapuh.

Ciri ketiga pula ialah, ummah mesti memposisikan diri sebagai pempengaruh yang berani dan berwibawa (qudwah hasanah) sebagaimana tokoh-tokoh Islam terdahulu. Tanggungjawab mendidik dan memimpin ummah melalui posisi sebagai pempengaruh (influencer) agar segala kata-kata dan perbuatan (qudwah) dalam menerapkan hayat Islamiah dan pendedahan agenda musuh akan mudah difahami oleh masyarakat.

Keempat, bermaruah dan izzah membangunkan peradaban Islam. ISMA mengimpikan ummah yang mempunyai jiwa yang besar, kehendak yang tinggi, berdisiplin dalam mengawal diri, memiliki kesetiaan, kesiapsiagaan dan semangat juang. Ummah perlu menjadi cerminan hidup kepada seluruh manusia dalam penegakan makruf dan membenteras kemungkaran dan kezaliman.

Seterusnya ummah yang bersatu padu dan bermuafakat membina kekuatan menegakkan kebenaran. Ciri-ciri ummah seperti ini disebut oleh al-Quran sebagai ‘bunyan marsus’, ummah sebagai binaan yang tersusun kukuh dan rapi.

ISMA juga meletakkan harapan ummah bercirikan pencipta yang merintis kemajuan. Setiap ummah perlu mempunyai tahap penguasaan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Berfikir berdasarkan epistemologi ilmu Islam yang tepat dan mampu membuat keputusan dalam hidup berlandaskan keseimbangan neraca wahyu dan akal. Ummah yang sentiasa belajar menimba pengalaman baru dari hari ke hari sepanjang hayat tanpa henti.

ISMA juga mahu ummah dengan hidup yang berkualiti, sihat, sejahtera dan produktif seimbang dari aspek fizikal, emosi, intelektual, spiritual dan sosial. Ummah mesti hidup dalam persekitaran yang bersih dan tenteram dihiasi dengan budaya masyarakat yang saling peduli serta menolak gejala tidak sihat.

Akhir sekali, ISMA mahu ummah ini mandiri, dengan erti mampu berdikari sendiri tanpa perlu bergantung kepada kuasa asing. Menguruskan sumber tanahair secara maksima dan membina rantaian ekonomi ummah khususnya rantaian bekalan strategik seterusnya ummah yang memiliki kuasa beli bagi menampung keperluan hidup yang berkualiti dan bebas dari monopoli kapitalis.

Secara strategi akar umbi, usaha membina ummah fadhilah ini akan digerakkan pada peringkat cawangan, kerana disitu berlaku interaksi antara tokoh-tokoh tempatan dan badan-badan setempat.

ISMA mengharapkan usaha jangka panjang ini akan merubah rupa paras masyarakat kita seterusnya dapat membina sebuah negara yang maju, kuat dan berdaulat.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA
18 Mac 2023

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat