KENYATAAN MEDIA: PELANCARAN KEMPEN KEMERDEKAAN YANG KE-66

ISMA Seru Perkukuhkan Identiti Budaya Kebangsaan Berteraskan Islam & Melayu

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Melihat kecelaruan identiti negara Melayu & Islam di kalangan masyarakat dan terdapat usaha yang menyemai kecairan identiti ini, maka Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah melancarkan Kempen Ini Negara Perjuangan sempena Bulan Kemerdekaan & Hari Malaysia yang bertemakan “Perkukuh Identiti Kebangsaan, Budaya Bangsa Merdeka” dalam memperkukuhkan identiti kebangsaan negara ini yang berteraskan Islam dan Melayu seperti mana yang termaktub dalam sejarah dan perlembagaan negara.

2. Kempen yang telah bermula dari 17 Ogos 2023 dan akan tamat pada 16 September 2023 ini mensasarkan beberapa objektif iaitu:

    1. Membangkitkan semangat patriotik agar setia berjuang untuk kebaikan negara seterusnya membangunkan ummah yang mempunyai nilai yang tinggi.
    2. Menonjolkan kisah perjuangan dan pemikiran beberapa tokoh pejuang dalam pembinaan identiti negara Islam dengan memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi;
    3. Mengangkat nilai sopan santun & kesusilaan sebagai teras dalam identiti budaya kebangsaan;

Kempen ini dijalankan dengan misi untuk melahirkan individu dan masyarakat yang bangga dengan identiti budaya kebangsaan yang berteraskan Islam & Melayu serta bangkit dengan semangat patriotik yang tinggi dan setia berjuang untuk kebaikan negara dan umat Islam.

Selain itu, kempen ini juga bermatlamatkan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terutama bangsa Melayu dan orang Islam di Malaysia berkaitan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti negara Malaysia, serta nilai budaya kebangsaan berteraskan Islam & Melayu yang menjadi rukun kepada identiti negara.

3. Bagi tujuan ini, pelbagai aktiviti dan program telah disusun di semua cawangan ISMA di seluruh negara; antaranya Konvoi Merdeka, Pentas Anak Merdeka, Ceramah dan Forum Kemerdekaan, terbitan siri poster dan video-video pendek serta pelbagai lagi inisiatif lain.

Untuk makluman, program Konvoi Merdeka akan diadakan secara serentak di seluruh cawangan ISMA pada 9 September 2023.

ISMA dengan ini menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia bersatu membangunkan ummah yang mempunyai nilai yang tinggi serta bersama-sama memperkukuhkan identiti kebangsaan negara ini yang berteraskan Islam dan Melayu seperti mana yang termaktub dalam sejarah dan perlembagaan negara.

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA
30 Ogos 2023

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat