- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersama-sama rakyat daripada pelbagai pihak membantah penerusan Bacaan Kedua Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar atau RUU PSB.
- Kepelbagaian pihak yang membantah RUU PSB termasuk daripada Ahli Parlimen Kerajaan, Ahli Parlimen Pembangkang, parti-parti politik baik daripada kerajaan dan pembangkang, badan peguam, persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan memberi isyarat kuat bahawa RUU PSB ditolak rakyat.
- Kepelbagaian latar belakang pihak-pihak yang membantah atau mempersoal RUU PSB menunjukkan isu ini melangkaui politik kepartian dan cubaan untuk menjadikan isu ini sebagai isu politik kepartian haruslah ditolak.
- Isu-isu utama yang menjadi pertikaian pelbagai pihak termasuk kuasa besar yang dimiliki oleh Menteri, kadar ambang persetujuan, kadar umur bangunan, hak pemilikan bagi pihak yang tidak bersetuju serta penglibatan pemaju untuk menentukan kadar ambang.
- ISMA melihat pembangunan tidak sepatutnya dilihat hanya daripada sudut komersial semata-mata tetapi perlu dilihat secara menyeluruh termasuklah identiti tempatan, kemasyarakatan, sejarah, agama dan budaya setempat.
- Pembangunan negara mesti berteraskan kepada identiti negara, keadilan sosial dan kesejahteraan komuniti sebagai sebuah ummah.
- ISMA mendesak segala jawapan balas jaminan yang diberikan oleh pihak kerajaan berkenaan RUU PSB, haruslah merujuk secara langsung kepada teks khusus daripada RUU PSB yang memberi jaminan tersebut atau jika jaminan tersebut merujuk kepada akta-akta lain, harus secara langsung merujuk kepada teks khusus akta-akta tersebut.
- ISMA meminta kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk meluluskan undang-undang yang memberi kesan besar kepada rakyat.
- ISMA juga menggesa supaya ahli-ahli Parlimen menolak RUU PSB sehingga semua kegusaran rakyat diselesaikan.
Dr. Mohd Eqwan bin Mohd Roslan
Pengarah Komunikasi ISMA
28 Ogos 2025