Keperluan Makanan: Hak Setiap Insan

Sebagai manusia, kita memerlukan makanan dan minuman untuk memastikan keberlangsungan hidup. Faktanya, manusia hanya mampu bertahan selama 3 hingga 4 hari tanpa air dan 40 hari tanpa makanan. Ketiadaan kedua-dua sumber ini akan merosakkan fungsi organ dan boleh menyebabkan kematian. 

Setiap manusia mempunyai keperluan nutrisi yang berbeza sejak awal kelahiran sehingga usia emas. Karbohidrat, protein dan lemak adalah sumber tenaga utama manakala mikronutrien lain seperti vitamin A, B, C, D, E, K, kalsium, zat besi dan mineral lainnya adalah pelengkap untuk menjalankan fungsi tubuh manusia. Namun, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan keperluan-keperluan ini tidak dipenuhi.

Contohnya, bagi mereka yang mendiami kawasan pedalaman, adalah lebih sukar untuk mendapatkan bekalan makanan berbanding mereka yang tinggal di kawasan bandar, pekan dan kampung. Begitu juga bagi mereka yang pendapatannya terjejas akibat wabak COVID-19, sudah pasti bekalan keperluan makanan mereka sekeluarga turut terjejas. Selain itu, perubahan cuaca juga menjadi faktor kekangan bekalan makanan bagi setiap isi rumah sebagaimana yang berlaku kepada penduduk di kawasan Pantai Timur yang dilanda banjir ketika musim tengkujuh.

Sebagai insan yang prihatin, kita seharusnya merasa bertanggungjawab dalam memastikan kecukupan keperluan bekalan makanan terutamanya kepada keluarga, jiran tetangga, masyarakat sekitar serta orang-orang awam. Selain badan kerajaan seperti Majlis Agama Islam Negeri, terdapat pelbagai NGO dan individu-individu yang turut membantu mereka yang memerlukan. Ada juga individu yang mengambil inisiatif mengumpul dana dalam usaha menyalurkan bekalan makanan melalui “Food Bank” serta sukarelawan PEMUDA ISMA yang memberikan bantuan kepada para asnaf dengan kerjasama Yayasan Maghfirah. Inisiatif seperti ini amat wajar dipuji dan dicontohi.

PEMUDA ISMA dengan kerjasama Yayasan Maghfirah menghulurkan sumbangan secara berkala kepada golongan asnaf

Terdapat kata-kata yang menarik perhatian penulis tentang keperluan makan ini iaitu, “kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan”. Penulis juga bersetuju dengan pandangan ilmuwan yang penulis hormati bahawa sekaya manapun kita, sebanyak mana wang yang kita ada, tetaplah keperluan makan kita hanya 3 kali sehari. Oleh itu, jadilah manusia yang cakna dengan keadaan masyarakat sekeliling. Berilah sumbangan semampunya, agar tiada lagi mereka yang menderita kelaparan. Adakah kita tidur kekenyangan sedangkan jiran menangis kelaparan? Fikir-fikirkan.

Nura Ruhaya Abdul Halim
Aktivis ISMA Kemaman,

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat