Keputusan SPM:Bukan garisan penamat pendidikan intelektual anak-anak

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan baru-baru ini. Bagi ramai ibu bapa dan pelajar, detik ini sering dianggap sebagai satu “garisan penamat” kepada usaha pendidikan intelektual yang telah dilalui selama bertahun-tahun. Keputusan yang cemerlang diraikan sebagai kejayaan besar, manakala keputusan yang kurang memuaskan pula sering menjadi punca kegusaran dan kekecewaan.

Namun hakikatnya, keputusan SPM bukanlah penamat. Tetapi hanyalah satu langkah awal dalam perjalanan panjang pembentukan intelektual dan kehidupan seorang anak.

Pendidikan intelektual tidak seharusnya diukur semata-mata melalui slip keputusan peperiksaan. Sebaliknya, terbina atas tiga dimensi utama yang perlu terus dipupuk dan dipelihara oleh ibu bapa, iaitu pembelajaran, kesedaran berfikir, dan kesihatan mental (Ulwan, 2004).

Dimensi pertama ialah tanggungjawab pembelajaran, iaitu proses mengisi akal dengan ilmu yang benar dan bermakna. Kecemerlangan akademik tidak hanya diukur melalui jumlah maklumat yang dihafal, tetapi sejauh mana ilmu tersebut membantu anak mengenal kebenaran serta memahami tujuan hidup. Keputusan SPM mungkin mencerminkan keupayaan pelajar menjawab soalan peperiksaan, namun itu belum tentu menggambarkan tahap kefahaman sebenar atau nilai yang dipegang dalam kehidupan mereka (Bloom, 1956).

Dimensi kedua ialah kesedaran berfikir, iaitu keupayaan anak untuk membentuk cara berfikir yang matang dan berprinsip. Dalam dunia yang penuh dengan pengaruh dan maklumat, anak-anak perlu dilatih untuk berfikir secara kritis, menilai sesuatu dengan bijaksana, dan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan yang betul. Mereka bukan sekadar perlu tahu, tetapi perlu memahami dan mampu membuat keputusan yang tepat dalam kehidupan. Aspek ini tidak dapat diukur melalui peperiksaan semata-mata (Paul & Elder, 2008).

Dimensi ketiga ialah kesihatan mental, yang memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan emosi dan kekuatan dalaman anak. Tekanan akademik, pengaruh persekitaran, serta cabaran emosi boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan intelektual mereka. Seorang pelajar yang cemerlang di atas kertas tidak semestinya memiliki kekuatan mental yang stabil. Oleh itu, pemeliharaan aspek ini perlu diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa (World Health Organization, 2022).

Dalam konteks pendidikan Islam, konsep ini selari dengan pendekatan tarbiyatul aulad yang menekankan pembangunan anak secara menyeluruh merangkumi aspek akal, rohani, emosi dan akhlak. Pendidikan anak bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi pembentukan insan yang seimbang dan berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi (Ulwan, 2004).

Sehubungan itu, dalam menyambut keputusan SPM hari ini, ibu bapa wajar mengambil pendekatan yang lebih seimbang. Jika anak memperoleh keputusan yang baik, maka bersyukurlah. Jika keputusan tidak seperti yang diharapkan, tetaplah bersyukur dan teruskan usaha membimbing mereka. Ini kerana tanggungjawab mendidik tidak berakhir dengan keputusan peperiksaan.

Matlamat sebenar pendidikan bukan sekadar melahirkan anak yang cemerlang dari segi akademik, tetapi membentuk individu yang mampu berfikir dengan benar, mempunyai kesedaran terhadap arah hidup, serta memiliki kekuatan mental dan jiwa yang kukuh.

Akhirnya, kita perlu sedar bahawa SPM hanyalah satu bentuk penilaian oleh sistem pendidikan. Kehidupan sebenar pula adalah medan penilaian yang jauh lebih luas dan mencabar. Di situlah nilai sebenar pendidikan akan terserlah.

Dr. Hidayah Ahmad Azam
Ketua Unit Kajian ISMA Melaka Tengah

Rujukan
Bloom, B. S. (1956). Taxonomy of educational objectives: The classification of educational goals. Longmans, Green.
Paul, R., & Elder, L. (2008). The miniature guide to critical thinking concepts and tools. Foundation for Critical Thinking.
Ulwan, A. N. (2004). Tarbiyatul aulad fil Islam (Pendidikan anak-anak dalam Islam). Dar al-Salam.
World Health Organization. (2022). World mental health report: Transforming mental health for all. WHO Press.

Scroll to Top