Kes Ops Songsang Chow Kit: Umat Islam Wajar Desak Siasatan dan Pendakwaan bawah 377A dan 377D Kanun Keseksaan

Sudah seminggu berlalu, namun masih tiada apa-apa berita terbaharu tentang siasatan atau pendakwaan untuk 208 lelaki yang ditangkap melakukan seks songsang.

Sedangkan, Malaysia mengiktiraf kesalahan gay/liwat merupakan kesalahan jenayah. Ini di kanunkan dalam Seksyen 377A jenayah sivil yang menyatakan mana mana orang yang melakukan seks songsang/memasukkan zakar ke dalam dubur atau mulut orang lain adalah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum.

Manakala, Seksyen 377C menyatakan kesalahan liwat SECARA PAKSAAN boleh dihukum dan hukuman tersebut lebih berat lagi. Menurut pihak berkuasa siasatan tidak boleh dijalankan kerana tiada mangsa. Sebenarnya kurang tepat sebab kalau tiada siapa mengaku mangsa maka seksyen yang digunakan bukan 377C tetapi boleh digunakan 377A. 

Mengenai siapa yang memasukkan atau siapa yang menerima itu sahaja yang boleh dibahaskan dan dicari pembuktian. Tetapi bila semua kata bukan mangsa maka secara automatik semua yang ditangkap boleh didakwa sebagai pelaku sukarela mengikut Seksyen 377A.

Sementara itu, liwat sebagai satu kesalahan jenayah Syariah juga telah dimansuhkan di Enakmen Kelantan dan Selangor. Ini berikutan cabaran litigasi oleh Iki Putra Mubarak dan Nik Elin pada 2021 dan 2024 yang lepas. Sekiranya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang membuat pendakwaan, saya sangat-sangat lah yakin bahawa peguam bagi 208 orang ini akan membuat semakan kehakiman dan menyatakan bahawa kesalahan liwat tersebut tidak berpelembagaan oleh kerana Mahkamah Persekutuan telah pun memansuhkan kesalahan yang sama pada  2021 dan 2024 yang lepas. Maka , untuk mendakwa mereka mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah ini akan merugikan.

Ada gerakan peguam muslim dan NGO yang sedang bekerja untuk meminda perlembagaan supaya kesalahan jenayah Syariah tersebut tidak dapat dicabar tetapi kita sedia maklum pindaan perlembagaan mengambil masa dan bergantung pada kesepakatan ahli parlimen untuk meluluskannya.

Hujjah mereka untuk dahulukan PINDAAN berbanding DAKWAAN adalah kerana 377A tempang dan lapuk disebabkan :

i – diskriminasi jantina kerana lelaki sahaja dihukum sedangkan perempuan lesbian tidak boleh dihukum.

ii – juga boleh dakwa orang yang telah pun berkahwin

iii – tidak adil kerana YANG MEMASUKKAN alat kelamin boleh dihukum berat, sedangkan YANG DIMASUKI hanya dihukum dengan 377D yang agak ringan.

⁠Sementara menunggu pindaan Perlembagaan ini, Mungkar Akbar di hadapan mata kita wajar dan wajib dibetulkan. Lebih baik menghukum mereka di Mahkamah Sivil berbanding mahkamah syariah yang kita tahu akan dicabar, dan rekod menunjukkan akan jatuh juga akhirnya.

Kaum Sodom dihancurkan Allah dengan terbaliknya negeri mereka dan dihujani dengan batu. Terbaliknya negeri adalah simbolik bahawa fitrah manusia yang dijadikan sebaik-sebaik kejadian telah jatuh kepada sehina-hina kejadian oleh kerana perbuatan terkutuk tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya : Barangsiapa yang kamu dapati melakukan amalan kaum Luth, maka bunuhlah pelaku dan orang yang bersamanya. 

(Riwayat al-Tirmizi (1456), Abu Daud (4462) dan Ibn Majah (2561) )

Ini menunjukkan beratnya kesalahan dan hukuman kepada pelaku dan pengamal seks songsang.

Dalam Kanun Keseksaan, Malaysia telah mengiktiraf kesalahan seks songsang ini dan walaupun hukumannya tidak sampai hukum bunuh iaitu menepati 100 peratus hukuman Syariah yang sebenar tetapi pengiktirafan seks songsang sebagai satu jenayah di Malaysia sepatutnya dijaga sebaik mungkin.

Sebagai pengamal undang-undang Syarie, saya berpendapat untuk menggunakan Akta Kesalahan Jenayah Syariah pada kes ini adalah ‘counter-productive’. Pada masa yang sama, saya menyokong usaha pindaan perlembagaan supaya cabaran Nik Elin tidak berulang.

Oleh itu, pihak berkuasa wajar meneruskan siasatan dan mendakwa 208 pelaku seks songsang di Chow Kit tersebut di bawah Kanun Keseksaan 377A dan 377D. Kita ada undang-undang jadi mesti guna. Apa guna undang-undang tanpa penguatkuasaan. Seorang salaf berkata :

إن الله ليزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن

Sesungguhnya ditegakkan hukum melalui sultan/ pemerintahan apa yg tidak boleh ditegakkan melalui Quran.

Maryam Shakirah bt Zulfakar
Exco Syariah & Keluarga Islam WAFIQ

Scroll to Top