Kes Suami Bunuh Skandal Isteri: Apa Solusi Undang-Undang Islam?

Sedih apabila membaca kisah suami yang bekerja keras sehingga melakukan 2 ke 3 kerja tapi bila balik rumah dia dapati isteri dia ada hubungan terlarang dengan lelaki lain. Akhirnya, tidak dapat menahan marah lalu membunuh skandal isterinya dia tu. 

Rupanya kisah ini juga pernah berlaku di zaman Rasulullah saw. Ketika mana ayat 4 Surah An-Nur turun mengatakan : Mana-mana orang yang ingin menuduh orang berzina hendaklah membawa 4 saksi. Seorang sahabat bernama Saad Ibn Ubadah berkata , “Kalau suami tengok isteri dia berzina kena bawa 4 saksi juga ke Rasulullah? Mesti dah habis lelaki tu memuaskan nafsunya baru selesai panggil 4 saksi. Rasulullah senyap.

Pertanyaan sahabat tadi benar berlaku. Seorang sahabat yang lain bernama Hilal dia balik ke rumah pada waktu Isyak dan telah mendapati isterinya sedang bersama lelaki lain di dalam rumahnya. Dia nampak dengan mata dan dengar dengan telinga sendiri apa yg dibuat oleh isterinya dan lelaki lain dalam rumahnya. Kemudian, dia jumpa Rasulullah mengadu tentang perbuatan isterinya dan lelaki lain tersebut. Akhirnya turun lah ayat tentang pensyariatan LI’AN iaitu ayat 6 Surah An-Nur.

Apa itu Li’an? Ayat 6 Surah An-Nur berbunyi : “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka kesaksian (sumpah) orang itu ialah bersumpah empat kali dengan nama Allah bahawa sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima: bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.

Jika isteri tidak bersumpah, maka isteri dikenakan hukuman hudud (zina). Tetapi, jika isteri menafikan, isteri itu akan terhindar dari hukuman (zina) dengan bersumpah empat kali dengan nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya termasuk orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima bahawa kemurkaan Allah atasnya jika suaminya termasuk orang-orang yang benar.

Kita ambil iktibar bahawa Hilal r.a telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan ketua negara merangkap hakim di Madinah. Begitu jugalah para suami sepatutnya mencontohi tindakan sahabat itu. Perkara pertama ialah dengan membuat pengaduan kepada Badan Kehakiman/ Jabatan Agama sebelum mengambil apa-apa tindakan sendiri. 

Untuk pengetahuan semua, tuntutan Li’an boleh difailkan di Mahkamah Syariah dan untuk mengadu tentang satu kesalahan jenayah syariah, pengadu perlu ke Pejabat Agama.

Saya juga berpandangan pejabat agama perlu memainkan peranan sebagai badan penguatkuasa yang turun ke lapangan dan banyak mendidik. Mereka harus aktif mengajar masyarakat muslim tentang langkah yang harus dibuat sekiranya melihat satu jenayah syariah telah berlaku seperti minum arak, berzina, dan sebagainya. Adakah kita mempunyai nombor telefon penguatkuasa syariah di kawasan kita seperti mana kita mengetahui nombor telefon polis? Ini penting supaya lelaki tadi dalam keadaan marah tahu apa tindakan yang patut dibuat.

Penguatkuasa juga perlu menghebahkan kuasa atau kerja mereka dengan menunjukkan banyak tangkapan dan serbuan yang telah mereka lakukan, seperti mana pihak polis menghebahkan tangkapan dadah dan serbuan pelacuran yang penjenayah lakukan. Hal ini juga berkait dengan akta 355 yang lama telah diminta supaya dinaikkan.

Akhir kata, kepada semua suami yang diuji dengan isteri derhaka atau curang, katahuilah bahawa suami tidak memikul dosa isteri. Lihatlah bagaimana isteri Nabi Nuh dan Lut a.s termasuk dalam golongan musyrik yang dibinasakan Allah. Hal ini direkodkan dalam ayat 10, Surah At-Tahrim : “Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir: isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah (pernikahan) dua hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua-duanya berlaku khianat kepada suami mereka, maka suami mereka itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (azab) Allah; dan dikatakan kepada keduanya: Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk (ke dalamnya).”

Maryam Shakirah bt Zulfakar
Exco Syariah dan Keluarga Islam WAFIQ
Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Gombak

Scroll to Top